PRN Melaka: Parti Melayu Islam perlu bersatu pertahan kuasa

Mohd Zai Mustafa

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyeru semua pemimpin parti Melayu Islam yang terdiri daripada Umno, Bersatu dan PAS bersatu demi mempertahankan kekuatan kuasa politik Melayu Islam dan kesejahteraan ummah pada Pilihan Raya Negeri Melaka.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, ini lebih-lebih lagi Umno, PAS dan Bersatu sudah pun mempunyai kerajaan di pusat dan wajar diteruskan di Melaka.

“Kegagalan mewujudkan persefahaman politik hanya akan mengundang kekalahan dan memberi peluang besar kepada gabungan parti liberal yang dikuasai DAP akan menang.

Advertisement

“Semua pihak mesti menghalang DAP daripada menang di Melaka,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, parti Melayu Islam mestilah menjadi contoh dan menjuarai perpaduan Melayu Islam dan perpaduan nasional masyarakat majmuk Keluarga Malaysia.

Beliau menambah, agenda perpaduan umat Melayu mengatasi segala-galanya demi agama, bangsa dan negara.

Katanya lagi, pemimpin mesti berjiwa besar dan mempuyai wawasan jauh ke hadapan melampaui kepentingan kelompok dan individu untuk kepentingan bangsa dan negara.

“Menonjolkan masyarakat Melayu yang bersatu akan membawa kepada perpaduan dan kesejahteraan kepada masyarakat majmuk Keluarga Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata, hanya gabungan parti Melayu Islam yang mampu mewujudkan kedamaian dan keharmonian kaum serta toleransi agama yang baik di negara ini.

Tambahnya, PAS sebagai parti yang berteraskan Islam wajar menjadi pendamai dan penyatu kepada penyatuan politik dengan menonjolkan Islam yang damai, adil dan bermuafakat akan membawa kepada konsep Islam yang memimpin umat.

Menurut beliau, perpecahan parti politik dan pemimpin hanya akan membawa kepada kekalahan dan hilang kuasa.

“UMMAH menyeru kepada pemimpin Islam, persatuan NGO dan pemimpin masyarakat agar terus memperkasakan agenda perpaduan ummah dalam kalangan rakyat negeri Melaka,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 2/11/2021