Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Keluasan Negeri Perlis Indera Kayangan tidak seharusnya menjadi penghalang untuk negeri ini memacu pertumbuhan ekonomi negara sungguhpun mempunyai keluasan yang kecil serta jumlah penduduk kira-kira 200,000 orang sahaja.
Pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr Mohd Saifizi Saidon berkata Perlis mungkin tidak mampu menjadi sebuah gergasi ekonomi negara dengan kapasiti hasil bumi dan keluasan tanah yang kecil, namun begitu, pertumbuhan ekonomi bukan hanya bergantung pada keluasan tanah dan hasil bumi.
“Korea Selatan boleh dijadikan model kerana telah mencipta keajaiban melalui pertumbuhan ekonomi daripada negara miskin kepada negara maju.
“Walaupun Korea Selatan adalah sebuah negara yang kurang hasil bumi disebabkan bentuk muka bumi yang tidak sesuai untuk pertanian, tetapi mereka telah menumpukan pertumbuhan ekonomi melalui pembangunan insan sehingga dapat meningkatkan sumber ekonomi negara melalui penguasaan sains dan teknologi,” katanya.
Menurutnya lagi, keluasan Perlis tidak seharusnya menjadi penghalang untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.
“Formula terbaik adalah dengan melahirkan sejumlah tenaga pakar dalam kalangan rakyat Perlis khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Modal insan cemerlang akan mencorakkan negeri yang gemilang kerana walaupun Perlis adalah negeri yang kecil tetapi ia mempunyai empat institusi pendidikan tinggi seperti Universiti Malaysia Perlis, Universiti Teknologi MARA, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, dan Institut Pendidikan Guru Perlis,” ujarnya.
Malah menurut beliau, Perlis juga memiliki institusi Pendidikan Teknikal dan Kemahiran (TVET) yang boleh dimanfaatkan seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), GIATMARA, Kolej Vokasional dan Kolej Komuniti.
“Jumlah institusi ini seharusnya melambangkan kekuatan Perlis sebagai negeri ilmu, sains dan teknologi.
“Malah asas kepada pembangunan material seharusnya bermula dengan membangunkan nilai modal insan,” katanya.
Antara lain, Mohd Saifizi berkata, kunci yang boleh menjayakan agenda memacu hala tuju pendidikan secara bersama adalah dengan membina jaringan sinergi melibatkan seluruh institusi pendidikan.
“Perlis perlu menggembeleng seluruh kekuatan ini secara menyeluruh melalui sistem yang teratur dan terkoordinasi.
“Walaupun Perlis mempunyai bilangan institusi pendidikan berteraskan sains dan teknologi yang banyak, tetapi kita masih gagal menarik minat generasi muda Perlis untuk ceburi pendidikan sains dan teknologi.
“Saya sedar berkenaan wujudnya usaha yang dilakukan secara individu atau kumpulan melalui program tanggungjawab sosial bagi memperkenalkan pembelajaran sains dan teknologi, namun, pergerakan secara tidak terancang dan tanpa koordinasi akan memberi impak jangka pendek sahaja,” ujarnya lagi.
Beliau juga mencadangkan agar usaha ini perlu dikoordinasikan oleh pihak yang bertanggungjawab supaya hala tuju pendidikan negeri ini lebih terarah sehingga membuahkan kejayaan.
“Contohnya seperti Jabatan Pendidikan Negeri Perlis yang boleh memainkan peranan ini bagi membentuk sinergi serta mengkoordinasi institusi pendidikan tinggi ke arah mendekatkan generasi baru kepada sains dan teknologi.
“Saya juga mengimpikan sebuah konvensyen pendidikan sains dan teknologi yang menghimpunkan para ilmuan institusi pendidikan negeri ini ke arah membentuk landskap hala tuju pendidikan negeri yang cemerlang,” katanya.
Oleh itu, menurutnya, perkara berkenaan memerlukan kerjasama semua pihak walaupun keterlibatan yang kecil kerana ia mampu memberi impak besar kepada Perlis. – HARAKAHDAILY 2/11/2021