Oleh EVA NATASHA SADALI
KUALA LUMPUR: Syarat kelayakan untuk menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bukan hanya berdasarkan jumlah pendapatan isi rumah, tetapi mengambil kira pelbagai faktor lain.
Antara faktor berkenaan ialah bilangan ahli isi rumah yang ditanggung, tahap ketidakupayaan ketua keluarga atau ahli keluarga dan faktor-faktor lain yang munasabah serta boleh memberikan gambaran kedudukan kewangan dan perbelanjaan keluarga.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata kerajaan menggunakan dua kaedah pengiraan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Semasa, iaitu PGK Purata Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita Semasa.
“Pertimbangan untuk menentukan kelayakan pemohon boleh menggunakan kaedah satu atau dua, iaitu yang mana lebih memberikan kesejahteraan dan kebajikan kepada pemohon.
“PGK ini diguna pakai dalam penentuan kelulusan permohonan Bantuan Am Persekutuan, Bantuan Kanak-Kanak, Bantuan Orang Tua, Bantuan OKU Tidak Bekerja, Bantuan Alat Tiruan dan Bantuan Geran Pelancaran,” katanya menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahmad Johnie meminta kerajaan menyatakan jumlah penerima bantuan JKM di kawasan Parlimen Igan antara tahun 2018 hingga sekarang dan mekanisme pemilihan yang digunakan serta jumlah peruntukan terlibat serta kategori penerima bantuan.
Berdasarkan statistik JKM, Siti Zailah berkata seramai 1,061 orang menerima bantuan melibatkan semua skim bantuan JKM di Parlimen Igan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM8.5 juta antara tahun 2018 hingga September lalu.
Katanya, Bantuan Kewangan Bulanan JKM merupakan bantuan bersasar dan terbuka kepada semua golongan yang memerlukan mengikut syarat ditetapkan Garis Panduan Pengurusan bantuan Persekutuan JKM 2018. – HARAKAHDAILY 2/11/21