Bukti kewibawaan Majlis Syura Ulamak PAS

- Advertisement -

MAJLIS Syura Ulamak PAS sebagai badan tertinggi parti telah bermesyuarat antaranya membincangkan berkenaan penggunaan logo PAS atau Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Melaka, kelmarin. Tiada keputusan tuntas, hanya panduan. Itulah sikap badan pemandu PAS ini. Ia memilih mengawal sempadan dan bukannya membuat keputusan walaupun ada ruang yang diberikan. Ini menjadikan badan itu terus dihormati dan disayangi oleh ahli dengan menjamin perjalanan PAS dari sebarang penyelewengkan terhadap dasar, matlamat dan tujuan-tujuan parti.

- Advertisement -

Majlis Syura membuat keputusan agar keputusan dibuat Jawatankuasa PAS Pusat sebagai pelaksana dan penggerak parti. Secara tidak langsung, Syura mengajar semua ahli PAS agar merujuk jawatankuasa itu dalam membuat keputusan. Beri kebebasan dan bukannya jadikan ia sebagai ‘rubberstamp’ dalam membuat keputusan.

Jawatankuasa PAS pastinya melihat pelbagai sudut sebelum sesuatu keputusan. Lontarkan pandangan sebaik mungkin dan seikhlasnya demi masa depan jamaah yang memikul amanah ummat Islam ini. Tuan Guru Presiden, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai seorang ulamak yang sangat luas ilmu dan pengalaman politik pastinya akan bertindak dengan penuh kebijaksanaan.

Ahli boleh melontarkan pandangan. Jawatankuasa Kerja (JK) PAS Pusat boleh memanjang dan mencernakan pandangan sebaik mungkin.

Tuan Guru Presiden seringkali mengingatkan Islam Memimpin. Ia isyarat yang jelas untuk seluruh pendukung. Berfikirlah bagaimana PAS boleh memimpin pihak-pihak lain sekalipun yang bertelagah untuk bersatu dan akur dengan acuan agama. Bahkan tidak menjadi tunggangan dan anak tangga hingga memberi nafas dan nyawa untuk kalangan yang hanya mahukan kuasa dan menggila dengan kuasa.

Tuan Guru Presiden berulang kali mengingatkan ibrah Arab Spring. Gerakan Islam yang membangkitkan kesedaran, pihak lain yang mendapat kemenangan. Islam kembali ditindas setelah mereka berkuasa. Sejarah perang Arab Israel juga pengajaran besar. Ikhwan yang menjadi arkitek kemenangan Mesir akhirnya diseksa dan dipenjara bila musuh berdamai sesama mereka.

Kini semua ahli berperanan meletakkan PAS memimpin dan bukan dipimpin dalam arena politik semasa. Dengan reputasi bersih dan rekod cemerlang lebih 30 tahun di Kelantan, rakyat meletakkan harapan yang tinggi kepada PAS. JK Kerja PAS Pusatlah yang perlu berfikir dan berkerja merealisasikan impian PAS memimpin perubahan. Ia bukan jawatan kemegahan tetapi amanah yang akan dipersoalkan Allah.

Bersempena muktamar yang juga berlangsung, ahli dan perwakilan memerhatikan semua gerak geri itu agar pemilihan kali ini, hanya mereka yang ikhlas dan menjiwai matlamat perjuangan diberi amanah memikul perjuangan.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 2/11/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000122032873/posts/7119370634743600/

- Advertisement -