INDERA MAHKOTA: Belia merupakan antara golongan paling terkesan pasca pandemik COVID-19, namun Belanjawan 2022 dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Zafrul Tengku Aziz dilihat membantu ke arah pemulihan ekonomi.
Exco Pemuda PAS Negeri Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, Belanjawan 2022 bertema ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ itu memperuntukkan banyak inisiatif untuk golongan belia untuk kembali ke fasa pemulihan.
“Inisiatif-inisiatif seperti ‘Jamin Kerja’ akan memberi peluang kepada 600,000 peluang pekerjaan adalah satu inisiatif yang mampu membantu belia untuk memulihkan kembali ekonomi mereka.
“Selain daripada itu, belanjawan juga menekankan inisiatif kepada siswa, yang mana siswa amat terkesan dengan pandemik COVID-19, terutama dari segi kaedah pembelajaran yang memerlukan peranti dan gajet yang seiring dengan kemajuan teknologi.
“Dengan inisiatif ‘Peranti Siswa Keluarga Malaysia’ boleh membantu siswa B40 untuk memiliki peranti dan gajet yang sesuai untuk proses pembelajaran mereka,” ujarnya yang juga Ketua Penerangan PAS Kawasan Indera Mahkota.
Tambah beliau lagi, Pemuda PAS Pahang juga sangat menghargai dan berterima kasih kepada kerajaan kerana dalam Belanjawan 2022 menekankan kepada pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Memperkasakan TVET ini akan memberi ruang dan peluang khususnya kepada belia untuk menambah kemahiran mereka sekali gus melahirkan belia-belia yang berkemahiran yang menjadi aset kepada negara.
“Menariknya lagi, belanjawan pada kali ini juga memberi diskaun bayaran balik PTPTN yang sudah sebagai satu galakan yang baik untuk peminjam-peminjam untuk melunaskan balik pinjaman pendidikan mereka.
“Dengan galakan kerajaan dalam memastikan belia bumiputera melaksanakan projek-projek berskala kecil kerajaan, Dewan Pemuda melihat ianya adalah satu platform mengiktiraf belia sebagai tonggak memacu kearah merancakkan kembali ekonomi negara,” katanya.
Justeru itu tambah beliau lagi, peluang yang akan diberikan ini harus digunakan sebaik mungkin oleh belia untuk menjana pendapatan sekali gus membantu negara untuk memulihkan kembali ekonomi.
Melihat kepada sebahagian inisiatif yang dibentangkan dalam Belanjawan 2022 kali ini terutama terhadap golongan belia, Pemuda PAS Pahang juga katanya, sangat menghargai dan berterima kasih kepada pihak kerajaa .
Menurut beliau, khususnya keprihatinan Kementerian Kewangan di mana meletakkan kepentingan belia sebagai salah satu agenda yang akan membantu pemulihan ekonomi negara.
Beliau berharap segala inisiatif ini dapat direalisasikan dan dilaksanakan sebaik mungkin tanpa adanya birokrasi dari mana-mana pihak dan mencapai objektif memulihkan kembali ekonomi negara. – HARAKAHDAILY 2/11/2022