Ulama Memimpin Muafakat Ummah

- Advertisement -

FIRMAN Allah (maksudnya): “Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Daku. (Kebanyakan manusia masih berselisihan) dan berpecah-belah dalam urusan agama mereka; (ingatlah) mereka semuanya akan kembali kepada kami (untuk menerima balasan).” (Al-Anbiya’: 92-93)

Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnianya dapat kita menjayakan Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat pada pagi ini. Semoga muktamar yang berlangsung pada hari ini dengan tema “Ulama Memimpin Muafakat Ummah” dapat mencapai hadaf yang kita akan laksanakan bersama untuk membangunkan sebuah pentadbiran dan masyarakat berteraskan panduan Syariat Islam.

Sesungguhnya mewujudkan sebuah penyatuan ummah merupakan suatu keizzahan umat Islam dan asbab kemenangan yang besar. Allah SWT telah menjanjikan kemenangan kepada golongan yang beriman dan beramal soleh yang sudah tentu berusaha membentuk sebuah kesatuan dalam kalangan umat Islam. Allah SWT berfirman (maksudnya): “Allah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu bahawa Dia akan menjadikan mereka sebagai khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang- orang yang sebelum mereka berkuasa; dan Dia akan menguatkan serta mengembangkan agama mereka yang diredhai. Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan dari ancaman musuh. Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dan sesiapa yang kufur sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (Al- Nur: 55)

Ayat ini diturunkan bagi memberi berita gembira kepada umat Islam bahawa mereka akan dikurniakan semula khilafah yang telah dijatuhkan oleh musuh Islam. Janji Allah ini pasti berlaku cuma memerlukan kepada pra-syaratnya sahaja iaitu mestilah umat Islam beriman dan beramal dengan amalan soleh dengan memperkukuhkan sebuah penyatuan ummah.

- Advertisement -

Mempertahankan Dasar Perjuangan

Perjuangan kita dalam Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merupakan satu ibadah dan pasti akan diganjari oleh Allah SWT dengan pahala yang berlipat ganda. Perlulah diingatkan, PAS adalah Gerakan Islam yang menyertai pilihan raya dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Biarpun ruang demokrasi itu tidak sepenuhnya menepati aspek Syariah, namun perjuangan untuk membebaskan umat Islam dari kepungan jahiliyah moden ini berpandukan syarak mesti diteruskan walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan masyaqqah. Firman Allah SWT (maksudnya): “Kalaulah jalan dakwah ini sesuatu yang mudah dan satu perjalanan yang tidak begitu jauh, nescaya mereka akan mengikutimu; akan tetapi tempat tujuan itu terlalu jauh dan sukar bagi mereka.” (Al-Taubah: 42)

Matlamat utama perjuangan Islam adalah untuk meninggikan kalimah Allah iaitu dengan melaksanakan syariat-Nya. Dasar dan pegangan PAS tidak lain adalah memperjuangkan lslam. Dasar ini tidak pernah berubah dari dahulu hinggalah sekarang. PAS mempunyai matlamatnya yang telah jelas iaitu:

i.              Menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan serta berpegang teguh kepada Al- Quran dan Sunnah.

ii.             Bercita-cita melaksanakan hukum Allah sepenuhnya di dalam pemerintahan dan seterusnya mendirikan Daulah Islamiah.

Dalam perlembagaan PAS sudah dinyatakan hal ini, iaitu di bawah Tujuan PAS dalam Fasal 5 (1) berbunyi: “memperjuangkan wujudnya dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana didalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah”.

Oleh itu, semua pertimbangan perjuangan dalam parti termasuk urusan politik mestilah dalam kerangka syariat Islam. Perjuangan PAS ini adalah diasaskan di atas prinsip menegakkan Islam yang wajib menjadi agenda ahli-ahli PAS sejak dahulu, kini dan selamanya walau zaman berubah dan rakan politik berubah. Kegagalan memahami perkara dasar inilah sebenarnya yang menyebabkan kekacauan fikrah dalam kalangan pemimpin dan ahli PAS di kala kita dilingkungi oleh krisis politik yang tidak berkesudahan.

Kita sentiasa menyatakan kepada ahli bahawa dasar PAS ialah Islam dan tujuan PAS ialah untuk mewujudkan dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan Islam. Inilah kemuncak perjuangan kita dan sebarang pertimbangan untung rugi tindakan politik kita adalah dengan mempertimbangkan dasar dan tujuan ini. Dasar Islam tidak boleh dibayar murah dengan agenda politik semata-mata dan hanya untuk target meraih kemenangan semata-mata.

Matlamat utama perjuangan Islam adalah untuk meninggikan kalimah Allah dengan terlaksananya syariat-Nya dan tunduknya segala fahaman, agama dan ajaran yang lain. Hayati pesanan Rasulullah S.A.W dalam sebuah hadis diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy’ari bahawa seorang lelaki Badwi datang menemui Baginda S.A.W dan bertanya, “Wahai Rasulullah, ada seseorang yang berperang untuk mendapatkan harta rampasan, ada juga yang berperang untuk membuktikan kejaguhannya. Oleh itu, siapakah di antara mereka yang berada di jalan Allah?” Rasulullah S.A.W menjawab (maksudnya): “Barangsiapa yang berperang demi menegakkan kalimah Allah, maka beliaulah yang berada di jalan Allah.” (Riwayat Muslim)

Penerusan Jihad Fisabilillah

Jika kita mengamati kepada sejarah asal penubuhan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ianya mempunyai kaitan rapat dengan kesedaran para ulama yang bangkit memperjuangkan Islam agar tertegak dalam masyarakat Tanah Melayu. Kesedaran itu diperkukuhkan lagi dengan perjuangan membebaskan Tanah Melayu daripada belenggu penjajahan British serta memperjuangkan hukum Islam. Dengan demikian, lahirlah sebuah parti yang mempertegaskan cita-cita dan prinsip perjuangan ke arah mewujudkan sebuah pemerintahan berdasarkan al-Quran dan al-Hadis dan rakyatnya mengamalkan Islam sebagai cara hidup.

Apabila umat Islam mencapai kemerdekaan, maka bangkitlah para ulama, fuqaha’ dan guru-guru agama mengajak umat Islam menghayati ajaran agama yang sebenarnya. Mereka mengajak umat Islam bersatu dalam satu jamaah dan meneruskan jihad fisabilillah. PAS bukanlah sebuah parti politik yang hanya berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan dan bergerak cergas di dalam siasah semata-mata, tetapi PAS mengutamakan agenda ta’lim dan tarbiah. Oleh yang demikian, ta’ lim dan tarbiah menjadi salah satu daripada program yang utama di dalam perjuangan Islam yang di bawa oleh PAS pada peringkat awal.

Ulama yang memahami tuntutan Islam dan berkecimpung dalam masyarakat akan melibatkan diri bersama dengan PAS. Penglibatan mereka secara langsung telah memberikan impak yang besar kepada PAS. Kerana sikap orang melayu yang begitu intim dengan orang agama, telah berjaya memberi kesan yang positif kepada perjuangan PAS. Memang ini terbukti, jika kita lihat tempat yang kuat pengajian agama maka di situlah akan menjadi pengkalan PAS. Sebab itu, PAS berkembang pesat umpamanya di Kelantan walaupun penubuhannya yang awal di Seberang Perai, ini kerana Kelantan mempunyai institusi pondok yang banyak.

Perjuangan Islam sememangnya satu perjuangan yang panjang dan penuh dengan pelbagai liku. Daripada bermula memenangi 1 kerusi pada tahun 1955 sehinggalah kemudiannya berjaya menawan negeri Kelantan dan Terengganu, dan pada hari ini kita menyaksikan pasca PRU14 PAS terus kekal mentadbir Kelantan dan ditambah dengan negeri Terengganu dan juga Kedah. Selain itu, PAS kini merupakan sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan. Tanpa kesabaran dan konsisten dengan keyakinan kepada janji kemenangan daripada Allah, mana mungkin PAS akan bertahan sehingga ke hari ini. Kesemuanya ini menuntut kepada semangat jihad yang berkobar dan kesabaran tinggi serta terus beristiqamah.

Jika hendak dibandingkan dengan perjuangan sahabat seperjuangan kita di Mesir iaitu Ikhwan Muslimin, setelah 77 tahun daripada tempoh Ikhwan Muslimin ditubuhkan iaitu pada 1928, pada tahun 2005 baharulah Ikhwan berjaya memenangi 88 kerusi dan pada tahun 2012 jatuhnya Firaun moden, Husni Mubarak dan pemerintahan diambil alih oleh Dr Mohamed Morsi. Alhamdulillah, perjuangan PAS kita pula tidaklah sampai sehingga 77 tahun sebagaimana Ikhwan Muslimin, namun dalam pada itu, Allah telah anugerahkan banyak kemenangan kepada kita. Baki lagi kita mesti terus berusaha daripada sekarang untuk mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti. Ukuran lama tempoh bukanlah menjadi sebab kita tidak menang, namun kita jangan melambatkan kemenangan daripada Allah. Ini kerana, sunnah perjuangan itu pasti akan diuji, hanya mereka yang istiqamah dan sabar sahaja akan diberikan kemenangan oleh Allah SWT. Berkata Imam as-Syafi’i (maksudnya): “Tidak diberikan kemenangan sehingga dia diuji, kerana Allah turut menguji Nuh, Ibrahim, Musa, Isa, dan Muhammad S.A.W dan apabila mereka bersabar, Allah mengurniakan kekuasaan kepada mereka”.

Ulama Mushlih (Pendamai)

Peranan ulama dalam Islam adalah memimpin dan memandu ummah ke jalan kebenaran. Tanpa mereka, ummah mudah tergelincir daripada jalan kebenaran. Apabila para ulama semakin hilang dalam masyarakat, manusia akan mengambil orang-orang jahil sebagai ketua mereka. Di kala itu mereka akan tersesat. Rasulullah SAW menjelaskan hal ini dalam sebuah hadis (maksudnya): “Sesungguhnya Allah tidak menarik ilmu dengan mencabutnya daripada hamba-hamba tetapi Dia menarik ilmu dengan mengambil nyawa para ulamak sehingga apabila tiada lagi seorang ulamak orang ramai melantik ketua-ketua yang jahil lalu mereka ditanya lantas mereka memberi fatwa tanpa ilmu lantaran itu mereka menjadi sesat dan menyesatkan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini juga menunjukkan bahawa para ulama perlu menjadi ketua memimpin ummah. Apabila ketua dipegang oleh mereka yang jahil maka berlakulah kesesatan. Ulama adalah orang-orang berilmu yang boleh merujuk kepada al-Quran dan al-hadis apabila memberikan pandangan. Apabila pandangan diberikan dalam keadaan jahil tanpa merujuk kepada al-Quran dan al-hadis, maka pandangan mereka akan menatijahkan kesesatan kepada diri sendiri dan kesesatan kepada ummah.

Pada zaman kini, kita memerlukan ilmuwan dan para alim ulama yang dapat memenuhi tuntutan semasa dan mengharmonikan kehidupan masyarakat. Malangnya, terdapat ulama yang menyibukkan diri dalam isu-isu yang remeh dan lupa isu utama yang perlu diberi perhatian. Akibatnya, umat Islam menjadi lemah dan suka berbalah dalam perkara furuk. Justeru, peranan para ulama sangat besar dalam membimbing ummah, mengutamakan kedamaian serta mengembalikan kehidupan manusia agar mengabdikan diri kepada Allah dengan mengikuti syariat-Nya secara menyeluruh.

Tugas para ulama adalah sebagai agen perubah, memperelokkan keadaan serta menjadi pendamai di antara pelbagai pihak dalam kalangan umat yang bertelagah agar kembali bersatu. Umat Islam yang bermuafakat dan bersatu padu adalah umat yang kuat dan pertolongan Allah SWT akan diberikan dengan semangat muafakat ini.

Sebagaimana juga seruan mendamaikan pihak yang dahulunya kita pernah bertembung dalam medan politik, maka seruan damai ini juga perlu diterapkan dalam parti yang kita sayangi. Pergolakan dan perselisihan dalaman yang berlaku sama ada sengaja atau tanpa sengaja, kita perlu bijak dalam menguruskannya. Usahakanlah sebarang perdamaian dan menyerahkan segala keputusan dan solusi ke peringkat atasan. Jangan kerana marahkan nyamuk, habis kelambu dibakar. Jangan pula seperti beruang yang sayangkan tuannya, lalu menampar tuannya akibat nyamuk yang menghinggapi di pipi tuannya. Hayatilah sabdaan Nabi S.A.W. (maksudnya): “Sesungguhnya Yadullah bersama dengan al-jama’ah. Dan sesungguhnya syaitan itu akan berlari pergi kepada mereka yang memisahkan diri dari jamaah (kelompok umat Islam).” (Riwayat Al-Nasa’ie)

Menyanggah Iftiraq

Dalam menangani isu khilaf yang kadang-kadang sehingga ke hari ini berlarutan dengan lahirnya persengketaan antara satu sama lain, ianya perlu ditangani dengan keilmuan dan hikmah yang tinggi. Suatu perkara yang perlu diketahui bahawa hukum-hukum fiqh ada yang disepakati oleh para imam mujtahidin, dan ada yang hanya disepakati dalam kalangan ulama-ulama mazhab berkenaan sahaja. Begitu juga, perkara khilaf, ada yang berlaku di antara imam-imam mujtahidin dan ada juga berlaku khilaf di kalangan ulama-ulama dalam mazhab yang sama.

Oleh yang demikian, umat Islam harus menerima kenyataan bahawa khilaf dalam perkara ijtihad dan hukum yang berasaskan kepada dalil-dalil zhanni adalah suatu perkara yang tabi’ie bahkan pasti berlaku. Adapun adab atau etika dalam berhadapan dengan masalah-masalah khilafiyyah khususnya bagi kita yang bukan ulama mujtahidin, maka perlu sekali diberi penekanan agar tidak menimbulkan porak peranda dan kecelaruan dalam masyarakat.

Justeru, saya merasakan penting perkara ini diberi perhatian sewajarnya dengan mengambil langkah berikut:-

Pertama: Setiap orang mesti membersihkan dirinya daripada sebarang sentimen taksub mazhab secara membuta tuli kerana mazhab bukanlah sebagai faktor memecahbelahkan Islam sebaliknya ia merupakan sebagai aliran pentafsiran dan pemahaman kepada Syariah.

Kedua: Kita hendaklah menghargai segala usaha yang dicurahkan oleh para ulama mujtahidin dalam pelbagai mazhab. Kita hendaklah menghormati dan beradab dengan mereka serta berdoa untuk kebaikan mereka.

Ketiga: Kita tidak harus menentang amalan-amalan khilafiyyah yang tidak sesuai dengan pandangan mazhab yang kita anuti. Sebaliknya kita hendaklah menentang amalan-amalan yang bercanggah secara jelas dengan hukum-hukum yang disepakati para ulama. Ini berdasarkan kaedah fiqhiyyah (maksudnya): “Jangan dibantah sesuatu hukum yang berlaku khilaf di kalangan fuqaha’. Dan sesungguhnya yang perlu dibantah ialah (perkara munkar) yang disepakati ulama atas pengharamannya”

Tugas kita bukanlah mengeluarkan sesiapa sahaja yang tidak sependapat dengan kita. Tugas kita yang besar ialah menyatukan semua pihak sekalipun berbeza pendapat. Selagi mana al-Quran dan al-hadis didahulukan, maka selagi itulah kita boleh bersatu sekalipun mungkin ada perbezaan dalam manhaj pendalilan bagi sesuatu hukum. Jika kalangan para ilmuwan asyik bergaduh dalam hal-hal yang remeh, maka bilakah ummah akan bersatu?

Ingatlah, taa’sub itu memecahkan manakala berlapang dada itu menyatukan. Setiap muslim adalah bersaudara. Maka setinggi-tinggi tahap persaudaraan ialah ithar manakala serendah-rendah tahap persaudaraan pula ialah berlapang dada. Berkata Syeikh Rashid Redha (maksudnya): ”Kita saling bantu membantu pada perkara yang kita sepakati, dan saling berlapang dada antara kita pada perkara yang kita berselisih”.

Patuhi Arahan Pimpinan

Kita sering membaca pesanan Rasulullah SAW yang berbunyi (maksudnya): “Dengar dan taat adalah menjadi kewajipan kepada setiap muslim dalam perkara yang dia suka atau tidak, selagi dia tidak disuruh dengan kemaksiatan, jika disuruh ke arah kemaksiatan maka tidak perlu lagi dengar dan taat”. (Riwayat Muslim)

Hadis ini menekankan ketaatan kepada pemimpin selagimana tidak disuruh melakukan maksiat. Oleh itu, apa-apa keputusan pimpinan dalam situasi mereka melaksanakan hak prerogatifnya, maka perlulah diterima dan janganlah mudah menyalahkan mereka hanya dengan sebab tidak berpuashati.

Kita dibolehkan berbeza pendapat dalam perkara furuk (cabang), tetapi selepas sesuatu keputusan dibuat, maka tiada pilihan lagi kecuali taat dan patuh kepada keputusan tersebut, walaupun mungkin bertentangan dengan pendapat sendiri. Jika dinilai dari sudut keputusan ketua dan pimpinan parti Islam, maka setiap keputusan itu sebenarnya bukanlah satu keputusan yang keluar mengikut hawa nafsu tetapi ia mempunyai fiqahnya yang tersendiri. Sabda Rasulullah SAW (maksudnya: “Sesungguhnya dilantik pemimpin itu adalah untuk diikuti.” (Riwayat al- Bukhari)

PAS sebagai parti politik dalam masa yang sama sebagai Harakah Islamiyah, mendukung konsep والطاعة السمع dengar dan patuh kepada kepimpinan tertinggi parti iaitu Majlis Syura Ulamak (MSU) dan Presiden parti. Ia merupakan persoalan asas dan adab yang tertinggi dalam PAS yang wajib difahami dan di amalkan oleh semua anggota parti. Selain itu, dengan adanya Majlis Syura Ulamak, ia memandu perjalanan parti kita agar tidak tersasar di jalanan. Majlis Syura Ulamak diberi kuasa pemutus dalam perkara ijtihadi dan ia adalah badan tertinggi parti serta keputusannya adalah wajib diikuti. Hal ini kerana MSU adalah penghurai kepada dasar PAS iaitu al- Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qias.

Justeru, kita ada pimpinan dalam memutuskan sesuatu perkara. Itu adalah hak pimpinan dan menjadi tanggungjawab ahli mematuhinya selagi mana tidak

bercanggah dengan syarak. Memilih jalan meneruskan perselisihan dengan menyanggahi keputusan pimpinan adalah satu tindakan yang mesti dijauhi oleh setiap ahli. Maka tidak perlu wujud perbincangan lagi apabila sesuatu keputusan telah diputuskan oleh MSU dan pihak pimpinan atasan. Berikan wala’ dan thiqah yang hakiki kepada ketetapan dan keputusan yang telah melalui prosesnya tersebut. Hayatilah kata-kata Imam Al-Syahid Hasan Al-Banna ketika membincangkan tentang rukun baiah (maksudnya): “Dan yang dimaksudkan dengan thiqah ialah ketenangan jiwa seseorang pengikut terhadap pemimpin pada kebijaksanaan dan keikhlasan (mereka dalam memutuskan keputusan), ketenangan jiwa kita yang mendalam akan membuahkan kasih sayang, penghargaan, penghormatan dan ketaatan”.

Ulama Dalam Berkerajaan

Keterlibatan para ulama dalam berkerajaan amat ditagih bagi mempastikan segala pentadbiran negara dipandu dengan suluhan ilmu demi mendapat redha Allah. Menyedari PAS adalah sebahagian daripada kerajaan Persekutuan pada hari ini, maka pastinya bukan mudah untuk mengisi semua agenda pentadbiran. Para ulama hendaklah berperanan menjadi penasihat yang berpengaruh dalam menyuarakan sesuatu isu agar kerajaan yang ada pada hari ini tidak mengulangi kesilapan Kerajaan Pakatan Harapan yang lalu. Isu-isu yang jelas menyentuh sensitiviti umat Islam perlu diberikan perhatian serius agar hal ehwal berkaitan agama Islam dan sensitiviti umat Islam terus terbela.

Para ulama juga mestilah berusaha mengemukakan cadangan, idea dan solusi dalam bentuk kertas kerja secara ilmiah agar ia mampu diangkat dan dibincangkan secara tersusun di meja-meja perbincangan yang melibatkan kementerian tertentu selain didiskusikan di seminar-seminar. Penyelidikan dan kajian secara ilmiah dengan keseimbangan antara ilmu wahyu dan kajian isu semasa mestilah digabungjalinkan bagi mempastikan sesuatu hasil yang lebih memberikan impak dapat dilaksanakan oleh kerajaan menerusi kementerian-kementerian yang ada.

Menerusi portfolio di kementerian yang dipegang oleh menteri-menteri daripada kalangan PAS serta agensi-agensi penting yang dipegang oleh PAS, para ulama kita perlu dikehadapankan dengan dilibatkan bersama dalam struktur organisasi. Kerja asas seperti kuliah, tazkirah dan usrah kepada kakitangan mestilah dilaksanakan secara berkala dan tersusun. Para ulama mesti bersedia bagi mempastikan penanaman fikrah Islam dari akar umbi dalam kalangan kakitangan kerajaan dapat dilaksanakan sebaiknya. Firman Allah SWT (maksudnya): “Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum  agama  kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan kami.” (al-Sajdah: 24)

Perlu diketahui bahawa PAS sejak awal penubuhannya, bergiat aktif dalam memberi penerangan kepada masyarakat termasuklah kepimpinan negara tentang konsep negara Islam dan pelaksanaan hukum Islam yang sebenar. Tuntutan untuk membangunkan negara Islam dalam negara yang majoritinya umat Islam dipelopori oleh Harakah Islamiah seluruh dunia sehingga tuntutan ini menyebabkan Majma’ Buhus Al-Islamiah Al-Azhar dalam muktamarnya kelapan di Kaherah pada bulan Zul Qaedah tahun 1397H bersamaan Oktober tahun 1977M, telah membuat satu resolusi mencadangkan kepada Universiti al-Azhar supaya menggubal satu bentuk Perlembagaan Islam untuk dikemukakan kepada mana-mana negara yang berhasrat untuk menjadikan syari’at Islam sebagai dustur negara.

Untuk memenuhi cadangan tersebut, maka Syeikhul Azhar ketika itu iaitu Imamul Akbar Dr. Abdul Halim Mahmud telah membentuk satu Panel yang terdiri daripada para ulama dan pakar-pakar terkenal dari Universiti al-Azhar dalam bidang Fiqh Islami dan Qanun Dusturi (Undang-Undang Perlembagaan) untuk melaksanakan tugas mendraf Perlembagaan Islam. Hasilnya lahirlah satu model Perlembagaan Islam al-Azhar yang mempunyai 9 bab yang terkandung di dalamnya 93 fasal.

Termasuklah kita di Malaysia, PAS sentiasa berusaha memberi penerangan kepada masyarakat tentang pelaksanaan Islam dalam ruang yang kita mampu mengikut apa yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Dalam Perlembagaan Malaysia telah dinyatakan peruntukan Islam sebagai Agama Persekutuan sebagaimana dalam perkara 3. Jika kita masih ingat, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas pernah menyarankan agar perkataan ‘Islam’ dalam Perkara 3 dipinda untuk membolehkan undang-undang Syari’ah dilaksanakan sepenuhnya, setidak-tidaknya kepada semua orang Islam. Usaha PAS ini tetap diteruskan apabila PAS telah berada dalam kerajaan Persekutuan pada hari ini.

PAS akan mempastikan agenda Islam terus dijulang secara berhikmah. Memahami realiti, keutamaan semasa dan memikirkan implikasi mendatang, di sinilah pentingnya gerak kerja perjuangan Islam secara tersusun dan bertadarruj. PAS tidak pernah sesekali memadamkan agenda Islam, tetapi agenda Islam terus diperkasakan. Ini boleh dilihat pada kementerian dan agensi-agensi yang diurus oleh pimpinan PAS yang dilantik. Lihat sahaja antaranya model pentadbiran PAS selama 31 tahun di Kelantan, pelbagai teladan telah ditunjukkan yang boleh dibanggakan dan diketengahkan sebagai kemampuan PAS dalam mentadbir serta mendaulatkan agenda Islam.

Ulama di era Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional

Perlu kita fahami, bahawa melalui perpaduan politik yang lemah, ianya boleh membawa keruntuhan dan perpecahan yang akhirnya merugikan umat Islam selaku kaum yang dominasi daripada kalangan rakyat Malaysia. Hal ini mengakibatkan suara dan kuasa kepada teras kekuatan pentadbiran negara tidak lagi menjadi milik mutlak orang Melayu Islam. Catatan sejarah menunjukkan krisis perpaduan politik Melayu di negara ini telah berlaku dalam tiga fasa yang utama iaitu pra-merdeka, pasca Pilihan Raya Umum tahun 1969 dan juga pasca Pilihan Raya Umum ke-14.

Ketegangan dan isu kaum banyak mewarnai pentadbiran Pakatan Harapan (PH). Isu tersebut gagal ditangani dengan baik menyebabkan wujudnya jurang ketegangan antara kaum. Ekosistem politik perkauman di era pemerintahan PH yang tidak terkawal telah meningkatkan sokongan masyarakat Melayu kepada parti politik yang sandarannya ialah perjuangan Melayu-Islam, bermula dengan Taawun Siyasi antara PAS-Umno sehingga termeterainya Piagam Muafakat Nasional pada 14 September 2019 sehinggalah terbentuknya kerajaan Perikatan Nasional selepas runtuh kerajaan PH dengan peletakan jawatan Tun Mahathir selaku Perdana Menteri ke-7 ekoran pergolakan dalaman PH itu sendiri.

Realiti yang perlu kita semua fahami ialah kerajaan pasca PRU14 ini bukanlah satu kerajaan yang terbentuk dengan majoriti yang besar. Pertukaran kerajaan dan pertukaran jawatan Perdana Menteri sebanyak tiga kali dalam satu penggal PRU, menunjukkan isu kerapuhan sokongan yang memerlukan kebijaksanaan untuk kita mengukuhkan perpaduan politik bermula dengan parti yang berasaskan Melayu-Islam dan ditambah dengan sokongan dari ahli politik bukan Melayu yang tidak terpengaruh dengan agenda cauvinis dan liberal.

Slogan penyatuan ummah tidak memadai dengan hanya dua parti sahaja tetapi PAS-Umno mesti menjadi peneraju kepada penyatuan untuk semua. Inilah yang perlu kita tekankan agar agenda penyatuan umat Islam dapat dijayakan merentasi semangat politik semata-mata, namun diikat dengan ikatan ukhuwwah Islam yang berpanjangan. Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Dan jadilah kamu semua hamba-hamba Allah dalam keadaan bersaudara.” (Riwayat Muslim)

Para ulama mesti menjadi agen pendamai yang sentiasa mengajak para pemimpin Melayu-Islam dan umat Islam umumnya untuk terus bersatu padu dan mendukung inspirasi perjuangan yang teguh dengan dasar Islam dan memelihara kesejahteraan negara. Seruan-seruan penyatuan ini banyak terdapat dalam al-Quran dan hadis, malah kita dapat lihat bagaimana pendirian para sahabat Nabi dalam sesuatu isu turut meletakkan agenda penyatuan ummah adalah agenda yang besar dan diutamakan. Tanpa penyatuan ummah, kita akan hilang kekuatan dan akhirnya kuasa jatuh ke tangan pihak musuh.

Berbaki tempoh sekitar 20 bulan bagi tempoh matang penggal sebelum PRU15, maka peranan ulama adalah mempastikan penyatuan ummah terus diperkasakan. Para ulama juga mesti berada di barisan hadapan mempertahankan kerajaan yang ada hasil muafakat ini agar tidak jatuh kembali kepada PH yang jelas lebih besar ancamannya sebagaimana yang telah dilalui 22 bulan di awal pasca PRU14 lalu.

Persiapan Hadapi PRU15

Dewan Ulamak PAS hendaklah membuat perancangan daripada sekarang untuk berhadapan PRU15 dengan menggesa semua ahli dan petugas PAS untuk melengkapkan diri dengan kekuatan rohani dan jasmani. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfal ayat ke-60 (maksudnya): Dan sediakanlah untuk menentang mereka (iaitu musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan daripada pasukan-pasukan berkuda yang lengkap, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu.

Kemenangan yang dicari pastinya kemenangan yang berprinsip dan mengharapkan keredhaan Allah SWT. Sekalipun kita berada dalam gelanggang demokrasi yang meletakkan pihak yang memiliki majoriti namun kita perlu pastikan segala gerak kerja, kempen dan program kita mesti patuh syariah, bermanfaat dan tidak mengundang murka Allah. Dalam masa yang sama, kita mesti berusaha dengan bersungguh-sungguh agar pengundi-pengundi dapat mengundi bagi pihak kita untuk menambahkan bilangan kerusi baik di peringkat Parlimen, mahupun di negeri-negeri.

Fokus yang sinonim dengan gerak kerja para ulama ialah menyentuh soal aqidah dalam mendepani serangan ideologi Barat. Kita lihat bagaimana doktrin materialistik, feminism dan liberalisme yang menjalar ke dalam masyarakat kita. Akhirnya manusia hilang pedoman agama dan pertimbangan yang mereka pilih adalah berasaskan kebendaan dan emosi semata-mata. Kita dapat lihat bagaimana kumpulan liberal seperti G25 yang berani secara lantang mengkritik pelaksanaan hukuman jenayah Islam berkenaan hudud. Begitu juga kumpulan LGBT yang lantang bersuara atas nama hak asasi manusia dalam membenarkan manusia gender ketiga. Hal sebegini, suara para ulama mesti juga lantang dan terkehadapan dalam menjernihkan kefahaman masyarakat agar tidak terikut dengan seruan-seruan menyeleweng tersebut.

Selain itu, para ulama juga mesti berusaha membentang solusi-solusi yang berkait dengan pentadbiran negara dan isu dalam kehidupan rakyat dari perspektif syariah. Segala solusi yang patuh syariah dan memenuhi maqasid syariah mesti dibentang dan diwacanakan agar masyarakat dapat melihat keindahan Islam dalam kehidupan. Para ulama boleh berganding bahu dengan pakar-pakar dan professional dalam sesuatu bidang agar wujudnya satu perbincangan yang boleh menghasilkan satu kertas kerja yang mencakupi perspektif syariah dalam sesuatu isu yang dikemukakan. Masyarakat perlu didedahkan dengan solusi-solusi dari perspektif Islam agar mereka bertambah yakin dengan perjuangan Islam seumpama model kerajaan yang kini sedang dipimpin oleh PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Maka dalam persiapan PRU-15 ini, asas gerak kerja kita ialah:

1.            Menghidupkan program kerohanian seperti munajat, qiyamullail, pemerkasaan mutabaah amal dan kuliah-kuliah haraki terutamanya dalam kalangan ahli PAS.

2.            Menasihati dan memantau setiap aktiviti serta program yang dijalankan adalah selari dengan syariat Islam.

3.            Memberikan penekanan soal aspek aqidah dan ancaman daripada ideologi- ideologi Barat ke dalam masyarakat.

4.            Bekerjasama dengan pakar dalam sesuatu bidang untuk perbincangan isu-isu semasa agar menatijahkan solusi dari sudut perspektif Islam untuk diterangkan kepada masyarakat.

Ulama Pelapis, Alimat dan Peranan di Era Generasi Millennial

Saya turut mengingatkan para Ulama Pelapis agar berganding bahu dengan ulama teras di negeri dan kawasan masing-masing. Ulama Pelapis adalah aset penting PAS dan pemimpin masa hadapan parti yang akan mempertegaskan prinsip perjuangan ini. Program perkaderan, tamrin, muzakarah perlu disusun secara baik. Elakkan berlaku pertembungan fikrah sebaliknya uruskan dengan baik setiap ikhtilaf yang berlaku dalam masyarakat pada hari ini.

Pelaksanaan pendaftaran automatik undi bagi 18 tahun dan ke atas merupakan satu cabaran buat Dewan Ulamak untuk mempastikan kefahaman Islam kepada generasi muda seawal 18 tahun dapat diterapkan dengan baik. Ini kerana, perubahan undi 18 tahun ini menjadikan generasi muda memikul tanggungjawab yang besar dalam menentukan halatuju pentadbiran negara dengan memilih pemimpin dalam pilihan raya.

Generasi millennial mempunyai cita rasa tersendiri, berbeza dengan generasi sebelumnya. Ditambah lagi, situasi di era teknologi yang terbuka luas, segala maklumat hanya berada di hujung jari. Ini menyebabkan generasi millennial menjadikan paparan di internet seperti laman web dan media sosial sebagai tempat berinteraksi, bersosial dan menjalankan pelbagai aktiviti. Tambahan pula sewaktu negara dilanda pandemik, aktiviti secara dalam talian (online) semakin rancak. Statistik menunjukkan pertambahan akaun pengguna saluran Youtube meningkat hampir 40 peratus iaitu 80.6 peratus di tahun 2020 berbanding 48.3 peratus di tahun 2018. Manakala Pengguna media sosial Facebook masih mengekalkan penggunaan tertinggi yang mencecah lebih 90 peratus.

Dalam kajian yang dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mendapati pengguna yang paling tinggi dalam menggunakan media sosial ialah kalangan mereka yang berumur 20 hingga 24 tahun dan diikuti mereka yang berumur 25 hingga 34 tahun. Kategori umur yang dipamerkan tersebut jelas menunjukkan betapa peranan besar untuk mendekati generasi muda yang lebih spesifik dengan generasi millennial di zaman ini.

Menerusi Lajnah Perkaderan Ulama Pelapis dan Lajnah Alimat, gerak kerja mendekati generasi era millennial ini mesti diperhebatkan dengan menjadikan dakwah tidak hanya statik di meja kuliah serta jalanan, namun mesti dikreatifkan dalam saluran media sosial. Pengisian yang jelas dan bersesuaian dengan tahap pengguna sangat penting agar dakwah secara bil hikmah dapat dilaksanakan dengan baik dalam menyantuni golongan ini.

Selain itu, perlu ditonjolkan para ulama kita dalam media sosial dari sudut ketokohan dan pengisian ilmunya agar generasi millennial juga dapat mengenali para ulama secara lebih dekat. Maka Lajnah Penerangan dan Media Baharu, mestilah diperhebatkan lagi di samping lajnah-lajnah lain.

Dengan kesesuaian usia yang muda dan lebih mesra dengan teknologi masa kini, maka sewajarnya ruang maya ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh Ulama Pelapis dan Alimat sebagai medan dakwah dalam menyentuh isu-isu yang dekat dengan generasi millennial agar mereka mendapat kefahaman asas dalam sesuatu isu menurut perspektif Islam seperti soal fesyen dan pemakaian, pematuhan syariah sesuatu urusniaga yang dijalankan serta menyiarkan tulisan atau video dengan pengisian yang lebih membina minda daripada berhibur semata-mata.

Ulama Mendepani Isu Antarabangsa

Menginsafi perpecahan serta kehancuran ummah dalam sesebuah negara Islam adalah dengan mempastikan umat Islam dapat memahami gambaran isu hubungan antarabangsa dengan baik. Kita mesti memahami hal-hal yang melibatkan propaganda terhadap negara-negara umat Islam dengan menjadikan apa sahaja gerakan yang mahu memperjuangkan Islam dilihat ekstremis dan dilabel terrorist adalah sebagai perancangan licik musuh. Mereka menampakkan umpamanya Amerika dijulang sebagai “Polis Dunia” atau “Pengaman Antarabangsa”. Hakikatnya, kehancuran negara-negara seperti Afghanistan, Iraq, Libya, Mesir, Syria dan lain-lain lagi apabila wujudnya ruang campur tangan dari Amerika tersebut secara langsung atau tidak.

Laporan dalam Global Peace Index tahun 2020 menyenaraikan negara Libya, Somalia, Yaman, Selatan Sudan, Iraq, Syria dan Afghanistan berada pada kedudukan terakhir negara yang diklasifikasikan bergolak dan tidak aman. Umat Islam bercakaran sesama sendiri namun Amerika terus menguasai dan Yahudi Zionis pula terus memperkukuhkan cengkaman mereka ke atas tanah suci umat Islam di Palestin.

Dewan Ulamak PAS mesti berusaha menambahkan lagi ruang perbincangan semasa dan diskusi berkenaan dengan isu hubungan antarabangsa ini. Di zaman teknologi serba canggih sewajarnya seminar-seminar serta rundingan meja bulat yang menghimpunkan para ulama dari serata dunia lebih mudah dijalankan secara dalam talian (online) bagi mendapatkan input-input segar daripada wakil ulama negara masing-masing. Perlunya suatu rancangan himpunan ulama antarabangsa sama ada menerusi seminar, pembentangan kertas kerja, wacana dan dialog ini diterajui oleh Dewan Ulamak PAS agar isu ummah terus menjadi agenda utama. Dalam masa yang sama terus bersepakat memberikan fokus terhadap kewaspadaan akan perancangan jahat daripada media Barat.

Alhamdulillah, sejak kerajaan Perikatan Nasional mengambil alih tampuk pentadbiran negara sehingga ke hari ini walaupun bertukar Perdana Menteri daripada Tan Sri Hj Muhyiddin Yassin kepada Dato’ Seri Ismail Sabri, kita dapat lihat pengiktirafan diberikan secara langsung kepada Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS selaku Duta Khas ke Timur Tengah membuktikan peranan PAS dalam mewakili kerajaan Malaysia secara rasmi ke negara-negara umat Islam. Sewajarnya landasan ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh kita semua daripada kalangan para ulama untuk menjadikan agenda dunia Islam sebagai fokus perbincangan kita dalam kerangka politik yang lebih besar.

Para ulama mesti pandai membezakan isu yang dimainkan oleh media Barat agar tidak terperangkap dengan jarum halus yang memecah-belahkan kita semua. Tugas kita bukanlah mengeluarkan mereka yang tidak sealiran dengan kita, namun tugas kita menghimpunkan semua di bawah satu bumbung kesepakatan atas nama umat Islam. Adapun soal berbeza manhaj dalam memberikan pendapat bagi sesuatu hukum, ini perlu diuruskan dengan baik dalam “rumah tangga umat Islam”, bukannya mengikut rentak musuh Barat. Ini kerana Barat tidak peduli soal perbezaan mazhab, mereka memerangi kita kerana kita “umat Islam” walau berlainan mazhab dan manhaj latar belakang pengajian.

Penubuhan Dewan Ulamak PAS Kawasan

Setelah sekian lama perbincangan kita bagi memartabatkan keberadaan para ulama dengan menubuhkan Dewan Ulamak PAS Kawasan, kini usaha berada di fasa akhir bagi menyempurnakan penubuhan Dewan Ulamak PAS Kawasan di seluruh negara dan perlu digiatkan secara berterusan dan tidak boleh terhenti. Terdapat di beberapa kawasan belum berkemampuan mewujudkan Dewan Ulamak PAS Kawasan, namun jangan sesekali berhenti usaha menghimpunkan para ulama yang ada sehinggalah berjaya menubuhkan Dewan Ulama PAS Kawasan di masa akan datang.

Penubuhan Dewan-dewan Ulamak PAS Kawasan ini akan menggambarkan momentum gerak kerja kalangan para ulama dengan lebih tersusun dan berfokus bagi membantu malah membimbing gerak kerja perjuangan Islam di peringkat akar umbi yang lebih dekat bersama masyarakat.

Dalam menjayakan penubuhan Dewan Ulamak PAS Kawasan ini secara menyeluruh memerlukan tenaga yang digemblengkan daripada semua pihak. Maka ulama teras bersama Ulama Pelapis dan Alimat perlu dihimpunkan bersama. Saya mengharapkan menjelang tahun 2022 nanti penubuhan Dewan Ulamak PAS Kawasan dapat dijayakan semaksima mungkin di seluruh kawasan-kawasan di Malaysia ini termasuklah di Sabah dan Sarawak.

Kesempatan ini juga, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada kawasan-kawasan yang telah berjaya menubuhkan Dewan Ulamak PAS Kawasan. Semoga dengan tertubuhnya Dewan Ulamak PAS Kawasan ini, gerak kerja secara teliti dalam menghimpunkan para Asatizah, Alim Ulama dan para Tuan Guru di kawasan masing-masing berjaya seterusnya akan membantu kemenangan kepada gerak kerja Islam, insya-Allah. Sabda Rasulullah SAW (maksudnya): “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan  dengan  penuh teliti.” (Riwayat al-Tabarani dan al-Baihaqi)

Penutup

Sama-sama kita mendoakan agar kita tergolong dalam kalangan orang yang sentiasa memperjuangkan agama Allah sehingga akhir hayat tanpa rebah dengan ujian dan halangan serta penipuan musuh kuffar dan musuh politik kita. Allah telah menjanjikan bahawa golongan ini akan sentiasa ada dalam perjuangan Islam, cuma adakah kita termasuk atau tidak daripada kalangan mereka. Nabi S.A.W bersabda (maksudnya): “Tidak akan hilang daripada umatku satu golongan yang akan tetap melaksanakan perintah Allah dan tidak akan memudharatkan mereka orang yang mencela mereka atau melawan mereka sehinggalah datang ketentuan Allah, dalam keadaan mereka tetap di atas kebenaran itu”. (Riwayat al-Bukhari) – HARAKAHDAILY 1/11/2021

Teks ucaptama Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh sempena Muktamar Tahunan Dewan Ulamak Pas Pusat Kali Ke-60 pada 30 Oktober 2021 di Kompleks Tahfiz Darul ULum, Senawang, Negeri Sembilan.

- Advertisement -