Perjelaskan tuntutan royalti minyak kerajaan Kelantan

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat perlu memaklumkan kepada Kelantan mengenai status terkini tuntutan royalti minyak kerajaan negeri terhadap Petronas.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, berkata walaupun ada peringkat tertentu dalam tuntutan itu, kerajaan Pusat sepatutnya memberikan jawapan yang tuntas dan konkrit berhubung perkara ini.

- Advertisement -

“Saya umumnya mewakili rakyat Kelantan dalam Dewan ini, ingin bertanya setakat manakah status tuntutan royalti ini kerana kita tahu di Kelantan ialah satu bumi yang dikeluarkan daripadanya minyak yang tidak boleh dinafikan.

“Tadi saya dengar wakil Kota Belud, berucap mengatakan Sabah dijadikan sebagai anak tiri. Saya tak mahu mengulas persoalan ini, tetapi adakah Kelantan telah dianaktirikan dengan isu royalti yang masih belum lagi selesai,” katanya ketika perbahasan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Fadhli yakin kerajaan mempunyai rancangan yang tersendiri berhubung isu ini, tetapi ia perlu dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberikan peruntukan khusus sebanyak RM400 juta kepada Kelantan walaupun bukan atas nama royalti .

Bagaimanapun, katanya peruntukan khusus itu kemudian disebut-sebut sebagai bayaran terhadap pengeluaran minyak di negeri itu.

“Kemudian pada tahun 2020 apabila berlaku perubahan kerajaan, YB dari Pagoh (bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin) pula menyebut bahawa RM400 juta itu adalah bayaran untuk royalti minyak.

“Untuk tahun 2021, bagaimanakah status tuntutan royalti minyak. Adakah sekadar cukup untuk pemberian wang ehsan semata-mata. Kita menuntut apa yang patut diberikan hak, hendaklah diberikan kepada mereka yang berhak,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/11/21

- Advertisement -