BUKIT MERTAJAM: PAS Kawasan Bukit Mertajam menyantuni mangsa kebakaran di Kampung Tasek Junjung, hari ini.
Naib Yang Dipertua PAS kawasan, Adnan Yusuf menyampaikan sedikit sumbangan bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa.
Setiausaha PAS kawasan Shafie Hamid, Ketua Pemuda, Syed Mohd Nazri Syed Ibrahim dan anggota Jabatan Amal Bukit Mertajam turut hadir dan menzahirkan simpati, rasa sedih di atas kejadian yang menimpa mangsa.
Menurut mangsa, Rizawati Mat Rejab, 53, kejadian itu berlaku lebih kurang jam 5.30 pagi.
Katanya, semasa kebakaran berlaku rumah itu dihuni sembilan orang termasuk bayi lima bulan.
Beliau berkata, litar pintas disyaki menjadi punca kebakaran yang bermula di bahagian atas rumah yang diperbuat daripada kayu menyebabkan kebakaran itu merebak dengan cepat.
“Kami tidak sempat menyelamatkan sebarang dokumen peribadi, pakaian serta dua buah motosikal, kini hanya sehelai sepinggang.
“Sekarang ini kami tidak punyai apa-apa, mengharapkan belas ehsan daripada orang ramai untuk bantu kami bina semula kehidupan, kami perlukan pakaian dewasa dan bayi,” kata beliau.
Rizawati berkata, kerugian akibat kebakaran itu dianggarkan sebanyak RM100,000.
Sementara itu, Adnan berkata, PAS Bukit Mertajam amat bersimpati dan turut sama merasa sedih di atas kejadian yang menimpa dan berharap mangsa beserta ahli keluarga dapat bertenang dan bersabar.
Katanya, sebarang sumbangan untuk membantu mangsa boleh disalurkan ke akaun CIMB 7021819265 atau hubungi Rizawati di talian 011-14414416 untuk keterangan lanjut. – HARAKAHDAILY 1/11/2021