Tonjolkan calon muda wakili parti dalam PRU15

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Usaha perlu diperhebatkan untuk menonjolkan calon daripada golongan muda untuk mewakili parti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perwakilan Muslimat Wilayah Persekutuan, Nur Hikmah Ramli, berkata parti juga perlu memantapkan persediaan dan populariti calon muda PAS dengan menonjolkan ketokohan mereka lebih awal.

- Advertisement -

Katanya, muslimat muda yang bakal menjadi calon pilihan raya juga boleh menjadi protege dan dibimbing di bawah pementoran bonda dan muslimat senior.

“Bakal calon dan agenda yang dibawa perlu dipopularkan bagi menonjolkan kerelevanan PAS dalam perspektif golongan yang dipanggil ‘budak baru nak up ini’,” katanya ketika sesi perbahasan Muktamar Dewan Muslimat Pas Malaysia (DMPM) di sini, hari ini.

Nur Hikmah berkata, kajian mengenai pola pengundi muda sebelum PRU-14 mendapati bahawa sumber elektronik dan media sosial merupakan antara media utama yang paling mereka percaya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan daya tarikan individu berpengaruh (influencer) digunakan bagi memberikan pendidikan dan kesedaran politik serta mempromosikan PAS.

Katanya, ahli juga perlu dilatih dan menyiapkan diri untuk menjadi ejen penerangan yang berkesan, selain strategi yang perlu dilakukan bagi memenuhi minat, cita rasa dan keperluan pengundi muda bagi memperkemas penawaran PAS dalam kempen PRU-15

Sementara itu, beliau mengingatkan ahli parti supaya menjaga imej dan integriti parti, manakala isu dalaman perlu disimpan rapi bagi menghindari kontroversi yang boleh menjatuhkan kredibiliti parti.

“Ruang dan anasir yang boleh membuka pekung dan kelemahan perlu dielakkan sebelum menjadi tumpuan dan topik perbualan warganet,” katanya.

Katanya, amalan politiking serta pertelagahan yang berterusan akan menyebabkan pengundi muda berasa muak terhadap politik negara, terutama dalam situasi dunia dan negara masih dilanda penularan wabak Covid-19.

“Setiap ahli, terutama yang berada di posisi tinggi serta mempunyai pengaruh terhadap jemaah perlu menjaga akhlak serta integriti diri,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/10/21

- Advertisement -