Tingkatkan usaha penerimaan rakyat Sabah terhadap dasar PAS

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Walaupun PAS adalah sebahagian komponen kerajaan Gagasan Rakyat Sabah (GRS), masih ada sesetengah pihak menganggap parti itu sebagai ekstrem kerana berorientasikan agama.

Perwakilan Dewan Muslimat PAS Sabah, Nur Mimi Hazwanih Mohd Shom, berkata sesetengah anggota masyarakat di Sabah tidak memahami dasar perjuangan PAS.

- Advertisement -

Beliau berkata, seorang pemimpin PAS dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), namun penerimaan parti lain dalam GRS dianggap masih belum sepenuhnya.

Oleh itu, beliau menyarankan program-program yang berorientasikan perpaduan di kalangan masyarakat tempatan perlu dipergiatkan.

Katanya, Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) boleh mengadakan program bercorak perpaduan di kalangan masyarakat Sabah.

“LPN boleh mengadakan kerjasama yang lebih erat mengatur program dengan LPN Dewan Muslimat PAS Sabah di peringkat kawasan dan cawangan,” katanya pada sesi penggulungan Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia secara hibrid, hari ini.

Nur Mimi berkata, PAS juga perlu bijak dan berhati-hati berhubung isu-isu sensitif seperti agama yang boleh menyebabkan salah faham dan perbalahan dalam masyarakat.

Beliau turut menyarankan lebih banyak pertemuan dan perbincangan dengan kepimpinan kumpulan etnik tempatan seperti Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) diadakan bagi memahami adat dan budaya mereka.

“PAS boleh mengadakan kunjungan hormat ke gereja-gereja untuk berbincang dan berkongsi pandangan berhubung keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah.

“Parti perlu dilihat lebih terbuka, mesra dan boleh bersahabat dengan sesiapa saja tanpa mengira latar belakang agama bagi menangkis persepsi yang melihat PAS sebuah parti ekstremis,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/10/21

- Advertisement -