PRU15: PAS Sabah perlu bertanding kerusi parlimen

Oleh AIZAL SAMSARUDDIN

SANDAKAN:
Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) menyeru agar PAS Pusat khususnya Dewan Pemuda PAS Malaysia membantu agar PAS negeri menghantar calon melalui rundingan kerusi bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekali gus bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ia atas semangat setiakawan dan pengorbanan yang perlu diberikan oleh parti-parti rakan dalam GRS terhadap PAS sebagaimana yang telah dilakukan parti itu semasa Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu.

Kenyataan tersebut ditegaskan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Hendri Hamsah dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia kali ke-62, di Port Dickson, semalam.

Advertisement

Tambahnya, DPPNS juga ingin menyatakan komitmen tidak berbelah bahagi untuk menampilkan calon anak muda tempatan yang terdiri daripada pemimpin pemuda sekiranya diarahkan oleh pucuk pimpinan.

“Kami juga berkomitmen penuh untuk menggerakkan seluruh jentera pemuda PAS bagi memastikan kemenangan PAS dalam PRU15 tersebut,” katanya.

Terdahulu, mesyuarat agung tahunan PAS kawasan-kawasan di Sabah yang berlangsung pada pertengahan Oktober yang lalu telah menyatakan usul untuk bertanding dalam PRU15. Antara Kawasan yang menyatakan usul berkenaan adalah Sandakan, Keningau, Putatan, Kalabakan, Tawau, Batu Sapi, Kota Belud dan sebagainya.

Mengulas perkara tersebut, Ketua Muslimat PAS Sabah, Norsah Bongsu dalam satu kenyataan menyebut pihaknya sedang memperkemas jentera muslimat di semua peringkat termasuk muslimat kawasan malahan turut bersedia menghantar calon muslimat sekiranya diarahkan.

“Muslimat PAS Sabah juga telah melancarkan jentera HalWa dalam satu majlis pelancaran pada 12 September yang lalu sebagai permulaan langkah persediaan jentera pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulamak PAS negeri, Barbar Abbas dalam satu kenyataannya juga turut menyokong dan menyambut baik cadangan yang akan dikemukakan dalam Muktamar Tahunan PAS Pusat.

“PAS Sabah sudah mempunyai jentera yang cukup dan kukuh untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang.

“Kami juga meminta agar rakan dalam GRS memberikan sedikit ruang buat PAS Sabah bertanding dalam PRU15 sekurang-kurangnya lima kerusi tradisi PAS Sabah,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/10/2021