PRU15: Kekalkan struktur Pemuda PN di pusat dan negeri

- Advertisement -

PORT DICKSON: Struktur organisasi Pemuda Perikatan Nasional (PN) di pusat dan negeri-negeri dicadang supaya dikekalkan untuk menghadapi PRU15 yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari mengemukakan demikian dalam ucapan penangguhan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-62 di Corus Paradise Resort, di sini sebentar tadi.

Menurutnya, menjadi hasrat beliau untuk pemilihan ditangguhkan bagi muktamar kali ini bagi memberi fokus kepada PRU15 yang telah sedia diadakan sejak sebelum ini.

Sekali gus katanya, organisasi Pemuda PAS sesi 2019-2021 dikekalkan, namun berikutan PAS Pusat mahu meneruskan pemilihan berlaku pertukaran Ketua Pemuda PAS di 12 negeri yang dilihatnya mungkin akan mempengaruhi perubahan struktur lain.

Bagaimanapun, supaya gerak kerja PRU15 khususnya oleh Jentera PN tidak terganggu terutama di negeri-negerI, beliau berharap struktur yang ada dapat dikekalkan.

Beliau malah mengajak Pemuda PAS merangka lebih jauh iaitu mengadakan persiapan hingga untuk PRU16, selain memperkemaskan kolektif dalam gerakan Pemuda di seluruh negara.

Ustaz Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas terdahulu menyatakan sikap inklusifnya untuk seluruh Pemuda bersama menggerakkan agenda Pemuda dan PAS seluruhnya.

Beliau memuji kepimpinan telah dibawa bekas Ketua Pemuda, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin yang menjadi penanda aras tinggi untuk beliau meneruskan momentumnya bersama saf baharu.

- Advertisement -

Beliau dalam sidang medianya menegaskan bahawa Pemuda PAS akan terus menggerakkan usaha mengukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

Pemuda PAS diyakini Fadhli, akan dapat menarik sokongan termasuk anak muda dari entiti-entiti yang wujud dalam Pemuda, selain faktor good governance ditunjukkan kerajaan negeri dipimpin PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Menyentuh kebersamaan dalam PRN Melaka, beliau akur dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan berharap sentiasa disediakan padang sama rata bagi PRN tersebut.

Tegas beliau juga, di sebalik pertembungan-pertembungan yang dikatakan berlaku sesama gabungan PN-MN di Melaka, beliau percaya ia dapat diselesaikan secara rundingan. – HARAKAHDAILY 31/10/2021

- Advertisement -