PEDi fokus lahir usahawan digital

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN : Foto oleh RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Proses transformasi 1,000 Pusat Internet Komuniti di seluruh negara kepada Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) akan dilancarkan, awal bulan depan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata PEDi yang dijenamakan semula daripada Pusat Internet Komuniti akan memberi penekanan kepada aspek penjanaan pendapatan, sekali gus membantu ekonomi rakyat di negara ini.

- Advertisement -

Katanya, Pusat Internet Desa yang sebelum ini hanya menyediakan kemudahan capaian internet kepada masyarakat luar bandar, perlu diubah untuk melahirkan usahawan digital.

“Sebahagian daripada peruntukan yang disalurkan kepada kementerian akan digunakan untuk proses naik taraf pusat internet.

“Sebelum ini, kerajaan hanya menyediakan kemudahan internet asas kepada penduduk luar bandar,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Sebelum itu, beliau berkunjung ke Kampung Padang Lembek, Ketereh, untuk melawat seorang bekas penggiat seni, Hasan Asat, 84, sempena Program Keluarga Malaysia Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Sementara itu, Annuar berkata, pelancaran PEDi dijangka akan dibuat di Bera, Pahang, November ini.

Annuar berkata, penekanan capaian internet kepada aplikasi boleh membawa kepada penjanaan pendapatan dan ekonomi rakyat .

Menurutnya, proses transformasi itu mendapat kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang akan menyediakan latihan serta modul kepada kursus e-Dagang di semua PEDi. – HARAKAHDAILY 31/10/21

- Advertisement -