Muslimat mahu tingkatkan jumlah wanita penggubal dasar

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat kali ke-62 menerima lapan usul dengan lima usul diterima tanpa dibahas dan tiga dibahaskan, iaitu usul dari Kelantan, Terengganu dan Perak.

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Senator Nuridah Mohd Salleh, berkata perbahasan usul memfokuskan kepada kesejahteraan wanita, merangkumi pelbagai aspek, termasuk pembangunan wanita dan keluarga, ekonomi, kesihatan, pendidikan, alam sekitar dan kepenggunaan.

- Advertisement -

Katanya, ini akan membuka mata kepada masyarakat berhubung sumbangan wanita yang meliputi pelbagai aspek di negara ini.

“Dua usul yang dibahaskan dan diterima, melibatkan peningkatan bilangan muslimat di peringkat penggubal dasar serta keperluan mewujudkan Jabatan Profesional di peringkat DMPM.

“Usul bagi memperkasa Ameerah dalam Dewan Muslimat di semua peringkat pula ditolak,” katanya pada sidang media selepas muktamar berakhir, hari ini.

Muktamar kali ini diadakan sepenuhnya secara dalam talian bermula pagi semalam. Muktamar itu disertai perwakilan dari 182 kawasan seluruh negara secara hibrid.

Sementara itu, semua jawatan tertinggi DMPM sesi 2021-2023 dimenangi tanpa bertanding, iaitu Pengerusi Tetap, Husna Saidon dan Timbalan Pengerusi Tetap, Nor Zarina Mohd Azhar.

Ketua DMPM, Senator Nuridah; Timbalan Ketua, Dr Rosni Adam dan Naib Ketua, Salamiah Mohd Nor, juga menang tanpa bertanding.

Seramai 12 Ahli Jawatankuasa (AJK) DMPM yang dipilih ialah Dr Najihatussalehah Ahmad, Dr Uyun Malik, Noraini Hussin, Wan Hasrina Wan Hassan, Dato’ Mumtaz Md Nawi, Dr Mardhiah Hayati Salleh, Asmak Husin, Zuraida Mohd Noor, Siti Asyah Ghazali, Dr Reen Mohd Amin, Dr Che Farida Ismail dan Dr Azimah Ibrahim. – HARAKAHDAILY 31/10/21

- Advertisement -