MOTAC lancar pakej cuti penjawat awam, pesara kerajaan

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui agensinya Tourism Malaysia melancarkan Pakej Cuti Penjawat Awam dan Pesara Kerajaan sebagai satu usaha meningkatkan pelancongan domestik di negara ini.

Menterinya, Dato’ Seri Nancy Shukri berkata, usaha itu juga merupakan kesinambungan kepada pakej istimewa penjawat awam yang telah dilancarkan sebelum ini dengan memberi fokus kepada produk-produk pelancongan seluruh negara sekali gus mampu menjana ekonomi.

- Advertisement -

Katanya, sebanyak 457 pakej telah dibangunkan melibatkan produk-produk pelancongan dari seluruh Malaysia dengan tawaran harga pakej yang diberikan adalah serendah RM120 seorang sehingga 30 Jun 2022.

Selain itu katanya, kalangan penjawat awam dan pesara kerajaan juga diberi keistimewaan dengan menikmati tawaran diskaun bagi harga tiket sehingga 30 peratus.

“Alhamdulillah, inisiatif MOTAC adalah konsisten dan berterusan dan kali ini kita melancarkan Pakej Cuti Penjawat Awam dan Pesaea Kerajaan di peringkat nasional yang menyasarkan produk-produk pelancongan di seluruh negara.

“Kita menyasarkan pelancaran pakej kali ini dapat menarik seramai mungkin penjawat awam dan pesara kerajaan untuk melancong di dalam negara termasuk 1.2 juta ahli CUEPACS dan 700,000 pesara kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran Pakej Cuti Penjawat Awam dan Pesara Kerajaan, di sini. Turut hadir Pegerusi Jawatankusa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan, Mejar (B) Dato’ Md Anizam.

Katanya, inisiatif Pakej Cuti Penjawat Awam dan Pesara Kerajaan itu diharap dapat menyemarakkan kembali sektor pelancongan domestik sekali gus membantu pemulihan industri pelancongan negara yang terkesan ekoran pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Mejar (B) Dato’ Md Anizam berkata, pihaknya juga turut akan memberi kerjasama dalam membangunkan industri pelancongan.

Ketika ditanya mengenai cara bagaimana pihak kerajaan negeri ingin membantu MOTAC untuk mempromosikan industri setempat untuk dinaikan beliau berkata, pihaknya sentiasa menaik taraf produk sedia ada di samping menaik taraf tempat menarik bagi memberi keselesaan dan menarik pelancong.

“Kita juga sedang menaik taraf beberapa tempat menaraik sebagai contoh Jeram Mengaji, Lata Kertas, Lata Berangin dan sebagainya bagi memberi keselesaan dan kita akan uar-uarkan kepada saluran yang kita ada bagi membantu meningkatkan industri pelancongan,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/10/2021

- Advertisement -