Oleh SALMAH MAT HUSAIN : Foto oleh RIZAL TAHIR
TUMPAT: Laman Warisan Kampung Laut dan Masjid Kampung Laut, berpotensi dicalonkan sebagai Tapak Warisan Kebangsaan kerana mempunyai keunikan tersendiri.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Seri Nancy Shukri, berkata kedua-duanya juga mampu diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) kerana memenuhi kriteria pencalonan.
Katanya, kementerian menyokong usaha untuk mencalonkan Laman Warisan Kampung Laut sebagai Tapak Warisan Kebangsaan dan Masjid Kampung Laut sebagai Objek Warisan, selain berpotensi besar untuk diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah UNESCO.
“Kedua-duanya memenuhi kriteria pencalonan, iaitu lokasi tradisi budaya yang unik dan contoh seni bina luar biasa,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan projek pembangunan semula Kampung Laut (Pakej 1: Laman Warisan Serunding) di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Baidzawi Che Mat.
Nancy berkata, Kelantan kaya dengan budaya dan warisan unik yang perlu dipelihara dan diketengahkan ke persada antarabangsa.
Menurutnya, pembangunan semula Kampung Laut dan perubahan Masjid Kampung Laut ke lokasi asal, bertepatan dengan pendekatan baharu kementeriannya yang memberi keutamaan kepada seni dan budaya sebagai elemen utama produk pelancongan.
“Elemen itu penting dalam usaha untuk mempromosi Malaysia, selaras dengan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021 yang dilancarkan pada 26 Oktober lalu,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar berkata, Laman Warisan Serunding yang bakal menempatkan 11 pengusaha serunding, dijangka dapat menarik lebih ramai pengunjung kerana Pakej 2 projek pembangunan semula Kampung Laut bakal menyusul.
Katanya, Pakej 2 projek pembangunan semula itu dijangka siap awal tahun depan, terdiri daripada Laman Warisan Seni Kampung Laut, akan memberi peluang kepada usahawan tempatan mempamer serta menjual hasil seni dan kraftangan.- HARAKAHDAILY 31/10/21