Undi18 dan persiapan akhir PRU15 dibahas Pemuda PAS

- Advertisement -

PORT DICKSON: Undi18 merupakan perkara baharu dihadapi semua parti politik dan menjadi cabaran khusus Pemuda sebagai sayap PAS di mana tidak boleh lagi berada ditakuk lama pemikiran dalam menguruskannya.

Perwakilan Pemuda PAS Negeri Kedah, Ustaz Ahmad Hamadah Mohamed Shauki berkata, minda yang menganggap Undi18 sebagai beban mesti diubah untuk melihat ianya menjadi peluang kepada parti ini.

Beliau berucap membahas Ucaptama Ketua Pemuda pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-62 di Corus Paradise Resort, di sini sebentar tadi.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah ingin memberikan berapa cadangan. Yang pertama, kita perlu lebih rapat dengan anak muda. Penampilan kita mesti berubah,” ujarnya menegur supaya Pemuda PAS menjaga kesihatan supaya benar-benar nampak muda.

Beliau menyatakan hasrat Pemuda PAS Kedah mengadakan lebih banyak aktiviti bersifat cabaran yang mengketengahkan Pemuda dalam kalangan anak muda di mana ianya dapat menarik golongan tersebut.

- Advertisement -

Perwakilan Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Muhammad Zulfadli Zainal pula menyentuh persiapan PRU15 dengan penekanan kepada empat fokus penting yang mesti dilaksanakan Pemuda.

“Yang pertama kebajikan merupakan perintah Allah S.W.T. Yang kedua mind set kerajaan. Dan yang ketiga responsif terhadap isu. Dan yang keempat sebaran meluas,” ujarnya mengutarakan perkara itu dihadapan 120 perwakilan.

Hurai beliau, kerja kebajikan telah lama menjadi kehidupan masyarakat dan amat sinonim dengan PAS di semua peringkat, namun ianya memerlukan perkemasan dari sudut pelaksanaannya untuk memasarkan PAS.

“Sebagai contoh Jabatan Amal Malaysia yang merupakan entiti besar di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia Negeri dan Kawasan sering kali diberikan pengiktirafan di atas usaha yang digerakkan termasuklah yang baru-baru ini misi bantuan bencana kepala air di Jerai Kedah.

“Pelbagai pihak membuka mata dan menzahirkan penghargaan terhadap Jabatan Amal Malaysia. Malah sikap yang sentiasa menjadi pihak pertama hadir membantu masyarakat yang memerlukan kepada apa jua keadaan.

“Sama ada miskin, orang yang tidak berkemampuan ibu tunggal anak yatim dan sebagainya tanpa mengira latar belakang ataupun agama bangsa dan fahaman politik.

Sudah pastinya menjadi kekuatan kepada PAS dalam memacu perpaduan serta membuktikan keupayaan dan kesediaan PAS untuk mengambil alih pemerintahan negara seterusnya mensejahterakan kehidupan masyarakat,” ujarnya.

Pemuda Perak juga katanya, mencadangkan agar Pemuda PAS di pelbagai peringkat memainkan peranan dengan membentuk bilik gerakan pusat khidmat DUN atau Parlimen dalam mengemaskini pangkalan data.

Hal tersebut jelasnya, supaya penerima sumbangan kebajikan menepati golongan yang memerlukan atau secara bersasar.

Perwakilan Pemuda PAS Negeri Perlis, Dr Mohd Saifizi Saidon juga menyentuh perkara sama apabila mengingatkan pentingnya mendekati kelompok anak muda melalui penggunaan media sosial secara berstrategi.

Tegasnya, persediaan pilihan raya tidak lagi boleh sebagaimana ketika PAS sebagai pembangkang, sebaliknya kedudukan sebagai kerajaan ketika ini mesti menjadi peluang untuk terus mempertahankan kerajaan.

“Maka di sana sebagai keadaan baru bagi saya, kita perlulah melihat sebagai satu peluang yang perlu dikaji strateginya, dari segi kemampuannya dan kelebihan-kelebihan yang ada, advantage yang ada.

“Bukan hanya dengan keadaan kita membawa pendekatan-pendekatan lama yang tidak disusun dan tidak dirancang tanpa melihat kelebihan pelbagai kelebihan yang kita ada.

“Kena sedaya upaya untuk kita memperkembangkan circle of our influence, kemampuan kita atau pengaruh kita yang lebih besar, berbanding yang mana dulu kita lebih tertumpu kepada centre orang kata.

“Sebagai contoh markaz kita, ahli kita, penyokong-penyokong kita PASTI, SRITI dan sebagainya, tetapi hari ini kita kena lebih daripada itu. Kita perlu melihat sebagai semua agensi-agensi kerajaan sebagai salah satu circle influence.

“Yang perlu kita kembangkan untuk mendapat peluang yang lebih besar untuk kita menghadapi PRU yang akan datang. Sebagai contoh dan sebagai pemuda, antara jalan yang boleh kita fikirkan sebagai FELDA for example,” ujarnya memberi contoh.

Perwakilan Pemuda PAS Negeri Melaka, Khanapiah Nor yang membahas mengenai Undi18 turut mengajak supaya ‘kekosongan’ Generasi Z difahami dan diisi dengan sebijaknya.

Akui beliau, golongan tersebut banyak berhubung melalui aplikasi media sosial dan sangat akrab dengan telefon pintar, selain dikategorikan sebagai generasi yang kreatif.

“Suka kegiatan bersosial atas talian dan sangat menyukai teknologi, ahli dalam mengoperasikan teknologi, peduli terhadap lingkungan sekitar dia, mudah terpengaruh terhadap produk positif, sukakan kebebasan, cenderung menyukai perkara yang serba segera.

“Suka mencari populariti dengan aktif di media sosial, cenderung menghabiskan waktu untuk keperluan fesyen, makan di restoran terkenal dan jalan-jalan. Terbuka dengan informasi global dan menyebabkan mereka kreatif dalam mencari ruang pendapatan.

“Dan ciri-ciri lain, mereka ini sukakan cara komunikasi yang tidak formal dan secara terus. Kalau kita tengok dalam Facebook semua, dia orang ini kurang adab. Tapi itu adalah karakter mereka,” ujarnya menghayati golongan tersebut. – HARAKAHDAILY 30/10/2021

- Advertisement -