SEREMBAN: Pelaksanaan pendaftaran automatik undi bagi 18 tahun dan ke atas merupakan satu cabaran buat Dewan Ulamak untuk mempastikan kefahaman Islam kepada generasi muda seawal 18 tahun dapat diterapkan dengan baik.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, ini kerana perubahan undi 18 tahun menjadikan generasi muda memikul tanggungjawab yang besar dalam menentukan hala tuju pentadbiran negara dengan memilih pemimpin dalam pilihan raya.
Katanya, generasi millennial mempunyai citarasa tersendiri, berbeza dengan generasi sebelumnya, ditambah lagi situasi di era teknologi yang terbuka luas, segala maklumat hanya berada di hujung jari.
Ini, ujar beliau menyebabkan generasi millennial menjadikan paparan di internet seperti laman web dan media sosial sebagai tempat berinteraksi, bersosial dan menjalankan pelbagai aktiviti.
Menurutnya, tambahan pula sewaktu negara dilanda pandemik, aktiviti secara dalam talian (online) semakin rancak.
Beliau menyatakan demikian semasa menyampaikan ucaptama pada Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat ke-60 dengan tema ‘Ulama Memimpin Muafakat Ummah’ di Kompleks Tahfiz Darul Ulum, Senawang, hari ini
Kata beliau, statistik menunjukkan pertambahan akaun pengguna saluran Youtube meningkat hampir 40 peratus iaitu 80.6 peratus pada tahun 2020 berbanding 48.3 peratus pada 2018 manakala pengguna media sosial Facebook masih mengekalkan penggunaan tertinggi yang mencecah lebih 90% peratus.
Beliau berkata, dalam kajian yang dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mendapati pengguna yang paling tinggi dalam menggunakan media sosial ialah kalangan mereka yang berumur 20 hingga 24 tahun dan diikuti mereka yang berumur 25 hingga 34 tahun.
“Kategori umur yang dipamerkan tersebut jelas menunjukkan betapa peranan besar untuk mendekati generasi muda yang lebih spesifik dengan generasi millennial di zaman ini,” ujarnya.
Tambah beliau, menerusi Lajnah Perkaderan Ulama Pelapis dan Lajnah Alimat, gerak kerja mendekati generasi era millennial mesti diperhebatkan dengan menjadikan dakwah tidak hanya statik di meja kuliah serta jalanan, namun mesti dikreatifkan dalam saluran media sosial.
Katanya, pengisian yang jelas dan bersesuaian dengan tahap pengguna sangat penting agar dakwah secara bil hikmah dapat dilaksanakan dengan baik dalam menyantuni golongan itu.
“Selain itu, perlu ditonjolkan para ulama kita dalam media sosial dari sudut ketokohan dan pengisian ilmunya agar generasi millennial juga dapat mengenali para ulama secara lebih dekat.
“Maka Lajnah Penerangan dan Media Baharu, mestilah diperhebatkan lagi di samping lajnah-lajnah lain,” katanya.
Belaiu menambah, dengan kesesuaian usia yang muda dan lebih mesra dengan teknologi masa kini, maka sewajarnya ruang maya itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Ulama Pelapis dan Alimat sebagai medan dakwah dalam menyentuh isu-isu yang dekat dengan generasi millennial.
Ini, ujarnya agar mereka mendapat kefahaman asas dalam sesuatu isu menurut perspektif Islam seperti soal fesyen dan pemakaian, pematuhan syariah sesuatu urusniaga yang dijalankan serta menyiarkan tulisan atau video dengan pengisian yang lebih membina minda daripada berhibur semata-mata.
Beliau turut mengingatkan para ulama pelapis agar berganding bahu dengan ulama teras di negeri dan kawasan masing-masing.
Katanya, ulama pelapis adalah aset penting PAS dan pemimpin masa hadapan parti yang akan mempertegaskan prinsip perjuangan ini.
“Program perkaderan, tamrin, muzakarah perlu disusun secara baik. Elakkan berlaku pertembungan fikrah sebaliknya uruskan dengan baik setiap ikhtilaf yang berlaku dalam masyarakat pada hari ini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh. – HARAKAHDAILY 30/10/2021