Pemuda sudah lupa tugas mencetak kepimpinan?

- Advertisement -


PORT DICKSON: Agenda pengkaderan amilin dan kepimpinan Pemuda PAS mesti sentiasa dipenuhi dengan sebaiknya sesuai tuntutan takwa daripada Allah S.W.T terhadap Mukmin agar tidak mewariskan generasi yang lemah.

Perwakilan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ustaz Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin menegaskan betapa Islam amat menitik beratkan perihal pembinaan generasi dan ia tidak patut dikesampingkan sungguhpun ketika sudah menjadi kerajaan kini.

“Walaupun hari ini kita melihat situasi politik memaksa kita untuk sedikit fokus ke arah pentadbiran kerajaan dan idea-idea pembangunan dalam kerangka parti yang menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri dan pusat.

“Kita wajib melaksanakan agenda perkaderan ini kerana ia adalah teras dan tunjang utama dalam PAS. Jangan sesekali kita memberikan alasan bahawa kita sibuk dengan kerja itu dan ini, kita sibuk untuk menyelesaikan masalah jawatan itu dan ini.

“Sedangkan masalah perkaderan yang begitu membelenggu diri kita hari ini kita lupakan begitu saja. Juga perlu diingati kepada para murabbi yang menjalankan proses perkaderan, dalam keghairahan kita mencetak ahli-ahli jemaah, janganlah dilupa kepada kualiti dari kuantiti yang ada,” peringatnya.

Beliau berucap membahas Ucaptama Ketua Pemuda pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-62 di Dewan Rembau, Corus Paradise Resort, di sini sebentar tadi.

Nasihat beliau, tidak ada gunanya memiliki kuantiti ramai ahli tetapi akhlak dan adab berjemaah jauh daripada kefahaman mereka atau masih berlaku pelanggaran arahan kepimpinan serta menjadi duri dalam daging.

Atau katanya, seperti gunting dalam lipatan hingga menjadi jemaah dalam jemaah atau poket dalam poket hingga meruntuhkan keharmonian dan rasa mahabbah dalam ukhuwah yang tercipta.

Beliau menggariskan sifat perlu ada pada pimpinan Pemuda PAS iaitu sifat rabbani yakni hubungan rapat serta kuat penggantungannya dengan Allah S.W.T serta memiliki akhlak sebagaimana Nabi S.A.W dan Sahabat R.A.

Pemimpin juga garisnya, perlu memiliki wawasan yang jauh ke depan dan kreativiti serta berpandangan jauh, bijak merencana arah tuju jemaah agar terus segar dan relevan dalam arena tarbiyah, dakwah dan siyasah.

Turut disentuhnya adalah mengenai pemahaman fikrah yang jelas dan tajarrud dari fikrah selain Allah S.W.T di mana pemimpin mesti dicetak menggunakan silibus ditetapkan PAS walau daripada mana datangnya mereka. – HARAKAHDAILY 30/10/2021

- Advertisement -
- Advertisement -