Pemuda bersama Presiden kukuh MN, pertahan PN

presiden
- Advertisement -

PORT DICKSON: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah diakui bukan sahaja menjadi pendamai dan penyatu Gerakan Islam di serata dunia serta parti-parti politik dalam negara.

Perwakilan Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Mohd Zuhdi Md Piah berkata, Tuan Guru juga telah memacu perpaduan ummah yang menjadi gagasannya sejak sekian lama di mana setiap ahli parti mesti selari dengan beliau.

Beliau berucap membahas Ucaptama Ketua Pemuda pada Muktamar Tahunan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-62 di Dewan Rembau, Corus Paradise Resort, di sini sebentar tadi.

Menurutnya, Tuan Guru Presiden juga konsisten terhadap perkara tersebut apabila sentiasa menegaskan untuk mengukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

“Ini jelas diulang sebut, ulang sebut, ulang sebut. Bahkan kalau kita meneliti ucapan Tuan Guru Presiden PAS ketika mana merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan-kawasan, Tuan Guru menitikberatkan soal ini.

“Kepada siapa yang perlu kita berikan kepercayaan, kepada siapa yang dipercayai oleh Tuan Guru. Maka kita sepatutnya thiqah dan memberikan wala’ yang tidak berbelah bahagi kepada kepercayaan Tuan Guru Presiden.

“Jangan sampai thiqah dan wala’ kita kepada kepimpinan-kepimpinan parti luar daripada kita yang bermuafakat yang terikat dengan kita sehinggakan kadang-kadang seolah-olah kita melupakan ayah yang melaungkan azan di telinga kita.

“Kita melebihkan orang lain daripada ayah kita. Kita melihat kehebatan orang lain lebih daripada ayah kita. Hakikatnya orang lain melihat ayah kita lagi hebat daripada yang lain tersebut,” peringat beliau.

Katanya, penyatuan diusahakan Tuan Guru tidak bersempadan sehingga antara Umno dan BERSATU sahaja, tetapi bersifat universal dan meletakkan kepentingan yang besar iaitu menjaga negara dan menjaga agama. – HARAKAHDAILY 30/10/2021

- Advertisement -