PORT DICKSON: Inovasi pentadbiran Pemuda PAS perlu memastikan kewujudan operasi dan tadbir urus waktu pejabat di semua Kawasan sebagai tanda aras kemampuan memberi perkhidmatan kepada masyarakat dalam segenap perkara.
Perwakilan Pemuda PAS Negeri Johor, Ustaz Syed Miftahul Ulum Syed Mustafa Kamal menyatakan perkara itu semasa mengambil perbahasan Ucaptama Ketua Pemuda pada Muktamar Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-62 di Corus Paradise Resort, di sini hari ini.
“Inovasi di bawah aktiviti lajnah dan jabatan antaranya mesti memusatkan tadbir urus PASTI di peringkat Kawasan, tiada lagi Cawangan-cawangan untuk memudahkan pengurusan guru, kewangan dan kebajikan,” ujarnya menjelaskan cadangan tersebut supaya berlaku penyelarasan dalam semua aspek sepatutnya.
Menyentuh peranan Jabatan Amal Malaysia, beliau berharap adanya pusat latihan khusus untuk menerapkan model atau modul latihan untuk anak muda dan remaja bagi mencapai tujuan-tujuan digariskan.
Mengenai inovasi politik, tegasnya Pemuda mesti sentiasa supaya perjalanan politik mengikuti Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang telah digagaskan sebelum ini.
“Kami berharap agar pemerkasaan ini dapat diadakan. Namun, jika belum masanya, kami akur dan patuh kepada kepimpinan,” ujarnya menutup dengan mesej dari surah as-Saff dan hadis mengenai perancangan berstrategi. – HARAKAHDAILY 30/10/2021
Laksanakan inovasi ke semua Pemuda PAS Kawasan
- Advertisement -