Kelantan terima tempias Bajet Persekutuan 2022

- Advertisement -

Oleh ASLANI M

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyifatkan Bajet 2022 memberi fokus yang inklusif dan menyeluruh melibatkan setiap segmen rakyat sebagai ‘Keluarga Malaysia’ demi kelangsungan hidup dan pemulihan ekonomi kesan pandemik Covid-19.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, berkata, harapan kerajaan negeri, Bajet 2022 akan memberi limpahan manfaat kepada rakyat Kelantan terutama pembangunan infrastruktur dan utiliti ke arah memacu pertumbuhan sosio ekonomi negeri.

- Advertisement -

Katanya, kerajaan negeri merakam ucapan terima kasih atas komitmen Kerajaan Persekutuan bagi melaksanaKan projek pembangunan infrastruktur bernilai RM3.53 bilion.

“Projek terbabit antaranya meneruskan projek Central Spine Road di jajaran Paloh 2 ke Gua Musang dan membina pakej lebuh raya dari Kok Lanas ke Bukit Tiu jajaran Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai,” katanya pada kenyataan, hari ini.

Petang semalam, Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, membentang Bajet 2022 yang bertema Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera, sebahagian peruntukan untuk pemulihan pasca Covid-19.

Menteri Besar juga berkata, kerajaan negeri turut menyambut baik peruntukan RM159 juta bagi membina kemudahan sukan termasuk pembinaan sebuah stadium Bukit Merbau, Pasir Puteh.

Menurutnya kemudahan sukan itu merangkumi pelbagai fasiliti sukan seperti gelanggang hoki, lapang sasar menembak dan pusat akuatik sebagai persedian Kelantan sebagai tuan rumah SUKMA 2026.

Oleh itu beliau merakam ucapan tahniah dan penghargaan kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan atas pembentangan Bajet 2022 yang menyediakan peruntukan sejumlah RM332.1 bilion. – HARAKAHDAILY 30/10/21

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!