PRN Melaka: Umno teruskan kerjasama dengan PAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno malam tadi memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pendirian itu selaras ketetapan perhimpuan agung parti itu tahun lepas, antara lain untuk memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk antara dua parti itu, lapor Bernama.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas mesyuarat tersebut yang dipengerusikan presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato’ Onn, di sini.

- Advertisement -

Menurutnya, mesyuarat bersetuju melantik Timbalan Presiden parti Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Pengarah PRN Melaka, selain mandat turut diberikan kepada Ahmad Zahid dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk memuktamadkan sebarang keputusan berkaitan PRN berkenaan.

Beliau juga berkata mesyuarat kali ini belum memuktamadkan nama calon dan pembahagian kerusi bagi PRN Melaka.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS, Dato; Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu menegaskan perlunya ketiga-tiga parti yang mendukung kerajaan Persekutuan sekarang dikekalkan dalam menghadapi PRN Melaka.

Beliau menambah, sebarang berita perpecahan tentunya akan menjadi berita gembira bagi PH.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 November manakala tarikh mengundi pula pada 20 November.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – HARAKAHDAILY 29/10/2021

- Advertisement -