Wujudkan enakmen kawal selia bekalan air Sabah

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kerajaan mencadangkan enakmen dengan fungsi yang sama seperti Akta Industri Perkhidmatan Air dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, diwujudkan di Sabah bagi mengawal selia industri bekalan air di negeri itu.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kedua-dua akta itu yang diwujudkan bagi melaksanakan fungsi kawal selia industri bekalan air di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, tidak berkuat kuasa di Sabah.

- Advertisement -

Katanya, enakmen dengan fungsi yang sama seperti kedua-dua akta itu, juga dicadangkan bagi memastikan fungsi kawal selia dan operasi diasingkan di Sabah.

“Ini bagi membolehkan satu badan kawal selia diwujudkan untuk membolehkan industri bekalan air di Sabah beroperasi dengan lebih efektif,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Panglima Madius Tangau (UPKO-Tuaran) ketika sesi pertanyaan jawapan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Madius meminta kerajaan menyatakan peranan Kerajaan Persekutuan bagi mengatasi masalah bekalan air di Sabah meliputi masalah sumber air, rawatan air dan air tidak terhasil (NRW).

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bertanggungjawab menyediakan pembiayaan secara pinjaman bagi pelaksanaan projek bekalan air di kawasan bandar negeri Sabah.

Katanya, jumlah pinjaman yang telah diluluskan sejak Rancangan Malaysia Ke-8 (RMK8) hingga RMK10 adalah sebanyak RM2.5 bilion, manakala peruntukan secara geran diberikan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi projek bekalan air luar bandar.

“Urusan operasi dan pembangunan infrastruktur bekalan air di Sabah adalah di bawah tanggungjawab Menteri Kerja Raya Sabah, melalui dasar-dasar yang ditetapkan oleh Kementerian Kerja Raya Sabah,” katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa air negeri yang diberi kuasa sejajar dengan Enakmen Bekalan Air Sabah 2003 adalah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

“Saya ingin menegaskan bahawa sebagai pihak yang bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan bekalan air di Sabah, peranan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) adalah kritikal dalam memastikan perancangan, pembangunan dan pengoperasian sistem bekalan air, termasuk perancangan berkaitan NRW dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.

Pada tahun ini di bawah Rolling Plan 1 (RP1) RMK12, katanya peruntukan sebanyak RM117 juta diluluskan untuk membiayai pelbagai projek dalam usaha untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Sabah. – HARAKAHDAILY 28/10/21

- Advertisement -