WHO iktiraf usaha Malaysia lawan pandemik Covid-19

Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

Oleh ASLANI M

KOTA BHARU: Malaysia akan dapat memainkan peranan lebih besar dalam program kesihatan dunia, khususnya ketika negara berada dalam fasa pemulihan pasca pandemik.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata peranan itu dapat dimainkan setelah wakil Malaysia, dilantik sebagai Naib Presiden Persidangan Kesihatan Sedunia (WHA) ke-75.

- Advertisement -

Katanya, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, dipilih sebulat suara dalam mesyuarat Jawatankuasa Serantau bagi Pasifik Barat ke-72, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Sesungguhnya ini satu penghomatan besar kepada Malaysia dan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia. WHA akan berlangsung di Geneva, Switzerland pada tahun hadapan.

“Saya percaya pemilihan ini juga merupakan satu pengiktirafan kepada petugas barisan hadapan kesihatan negara yang terus komited melaksanakan tanggungjawab melawan pandemik Covid-19, katanya pada catatan di laman sosialnya.

Sebelum ini pembangkang sering mempertikaikan langkah kerajaan menangani pandemik Covid-19, termasuk pengisytiharan proklamasi darurat.

Malah pada persidangan Parlimen sebelum ini, pembangkang menganggap langkah kerajaan melaksanakan darurat kesihatan sebagai bermotif politik.

Perkara itu bagaimanapun dinafikan Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali, yang menyifatkan darurat kesihatan berjaya mengawal penularan wabak.

Oleh itu, Muhyiddin berharap dengan pengiktirafan itu membolehkan Malaysia terus lantang memperjuangkan isu-isu seperti kesaksamaan akses vaksinasi untuk negara-negara membangun.

Selain itu, berani menyuarakan isu-isu kesihatan awam dunia, bukan sahaja untuk kepentingan negara, sebaliknya bagi manfaat serantau.

“Keep up the good work dan semoga semua usaha kita bersama demi bangsa dan tanah air terus diberkati Allah SWT, InsyaAllah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/10/21

- Advertisement -