UMK, KIAS jalin kerjasama akademik

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

TUMPAT: Staf akademik Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Putra (KIAS) kini berpeluang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), berikutan hasil jalinan kerjasama antara dua institut pengajian tinggi tersebut.

Sehubungan itu, majlis menandatangani Memorandum Persafahaman (MoU) kerjasama akademik dan pendidikan keusahawanan antara UMK dan KIAS telah berlangsung di Bangunan Canselori, UMK, semalam.

- Advertisement -

Majlis MoU tersebut diwakili Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMK, Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad dan Ketua Eksekutif KIAS, Prof Dr Ab Aziz Mohd Zin.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Arham Abdullah dan Timbalan Ketua Eksekutif, Hal Ehwal Akademik KIAS Dr Mohd Ramizu Abdullah@Zakaria.

Dr Nik Maheran yang juga Naib Canselor UMK berkata, sehingga kini seramai 23 pelajar KIAS  sudah mendaftar dengan Pusat Pengajian Siswazah UMK.

Menurutnya juga, UMK sebelum ini Pusat Pengajian Siswazah UMK mengadakan Bengkel Kaedah Penyelidikan pada 2019 di KIAS bagi memberi pendedahan kepada pelajar.

“Melalui Mou ini,  kedua-dua UMK dan KIAS dapat meningkatkan pendidikan tinggi negara dengan prestasi yang lebih cemerlang dan pencapaian membanggakan.

“Kaedah ini secara tidak langsung menyahut hasrat kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya.

Dr Nik Maheran juga berkata, UMK sentiasa komited untuk mengekalkan keakraban hubungan dan melebarkan jaringan kerjasama dengan KIAS.

“Pemeteraian MoU ini merupakan sebahagian manifestasi komitmen yang dicita-citakan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/10/2021

- Advertisement -