Terengganu sasar tanam 330,000 pokok tahun ini

- Advertisement -

MARANG: Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu menyasarkan penanaman kira-kira 330,000 anak pokok pada tahun ini bagi menjayakan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025.

Pengarahnya Roslan Rani berkata pihaknya yakin sasaran tersebut dapat dicapai berikutan sebanyak 276,351 anak pokok yang terdiri daripada pelbagai spesies telah ditanam di seluruh negeri setakat ini.

- Advertisement -

“Penanaman pokok ini juga mendapat kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuk Jabatan Pertanian, MARDI (Institut Pertanian dan Kemajuan Pertanian Malaysia) dan sebagainya.

“Sehingga hujung tahun ini kita telah merangka beberapa lagi siri program penanaman pokok dan kita yakin sasaran itu akan dapat dicapai,” katanya kepada Bernama selepas aktiviti penanaman pokok sempena Program Kesedaran, Sebaran Am dan Pemuliharaan Hutan Paya Gambut Dalam Kawasan Hutan Simpan Kekal Negeri Terengganu di Hutan Simpan Jambu Bongkok, di sini hari ini.

Bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk penanaman 20 juta pokok setiap tahun menerusi kempen berkenaan, Roslan menyeru seluruh penduduk Terengganu supaya mendaftar di aplikasi Penghijauan Malaysia yang merupakan sebuah platform bagi memuat naik maklumat berkenaan pokok yang ditanam.

“Aplikasi ini boleh dimuat turun di telefon bimbit bagi memudahkan sesiapa sahaja membuat pendaftaran selepas mereka menanam pokok. Jadi saya menyeru penduduk di Terengganu supaya mendaftar di aplikasi tersebut walaupun mereka hanya menanam satu pokok sama ada di rumah, di kebun atau sebagainya.

“Sekiranya setiap rumah mendaftar dalam aplikasi ini saya percaya kita boleh mencapai 400,000 hingga 500,000 pokok yang ditanam,” katanya.

Roslan berkata aktiviti penanaman pokok yang diadakan hari ini menyaksikan sebanyak 1,600 anak pokok telah ditanam di kawasan lapang seluas lima hektar di Hutan Simpan Jambu Bongkok.

“Antara spesies anak pokok yang ditanam hari ini ialah Balau Pasir, Merawan Siput Jantan dan Kelat. Kita tengok masih ada lagi kawasan lapang di Hutan Simpan Bongkok ini dan kita sasarkan untuk menanam  kira-kira 2,000 anak pokok lagi,” katanya.

Menurut beliau program yang diadakan di kawasan hutan paya gambut itu turut melibatkan penyertaan penduduk Kampung Jambu Bongkok Pantai yang secara langsung dapat memupuk semangat cintakan alam semula jadi melalui penanaman pelbagai jenis pokok kepada segenap lapisan masyarakat.

Turut hadir pada program hari ini ialah Timbalan Pengarah Perhutanan Negeri Terengganu Azni Rahman A. Wahid dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Jambu Bongkok Pantai Nasimudin Abdul Wahab. – BERNAMA

- Advertisement -