RM60 juta bantu 1,066 institusi pendidikan agama

- Advertisement -

Oleh ASLANI M

KOTA BHARU: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta pada tahun lepas bagi membantu institusi pendidikan agama di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad, berkata peruntukan sama diteruskan tahun ini bagi membantu institusi terbabit termasuk sekolah agama, pusat tahfiz dan pondok.

- Advertisement -

Katanya, tahun ini peruntukan RM100 juta disalur bagi tujuan selenggara dan naik taraf institusi pendidikan Islam di bawah penyelarasan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajar dan Pendidikan Agama Islam (Lepai).

“Sehingga Ogos lalu, sebanyak RM60 juta sudah disalurkan kepada 1,066 institusi agama yang layak,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas), katanya daripada jumlah itu, sebanyak RM22.2 juta disalur kepada 413 institusi tahfiz dan RM5.03 juta diagih kepada 95 pondok di seluruh negara.

Menurutnya juga pada 2020, sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi tujuan yang sama, di mana sebanyak RM18.6 juta daripada jumlah itu diperuntukkan di bawah Bantuan Khas Impak Pandemik Covid-19.

Kata beliau, ia merangkumi bantuan sara hidup berjumlah RM800 kepada guru-guru warga negara di institusi pendidikan Islam berdaftar.

Selain itu, katanya peruntukan RM10 setiap murid warga negara bagi tujuan pengurusan institusi berkenaan.

Katanya, peruntukan sebanyak RM39.9 juta tahun lalu memberi manfaat kepada 1,667 tahfiz, manakala 339 pondok pula menerima peruntukan RM11.02 juta.

“Tahun ini, sebanyak RM60 juta diagih bagi membantu 1,066 institusi pendidikan agama, di mana RM22 juta daripada jumlah tersebut bagi membantu 413 pusat tahfiz di seluruh negara,” ujarnya.

Bagaimanapun Abdul Latif Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) mencadangkan bantuan sebanyak RM50,000 kepada institusi pondok dikaji semula memandangkan sebelum itu, bantuan serupa diberi sebanyak RM100,000.

Oleh itu, beliau berharap kerajaan memanfaatkan baki RM40 juta lagi peruntukan tahun ini digunakan bagi membantu institusi pengajian pondok.

Sebelum itu, Ahmad Fadhli mencadangkan kerajaan menambah dana bagi membantu institusi pendidikan agama memandangkan ketika Bajet 2021 disediakan, wabak Covid-19 belum lagi menular.

Menjawab isu tersebut, Idris berkata, bantuan diberi kerajaan kepada institusi pengajian agama yang berdaftar dengan kerajaan.

Menurutnya, sehingga sekarang sebanyak 1,276 institusi pendidikan agama berdaftar, manakala 30 lagi dalam proses pendaftaran dan 324 lagi belum berdaftar. – HARAKAHDAILY 28/10/21

- Advertisement -