Perkukuh kerjasama antara pendakwah dan kerajaan

Foto daripada Facebook Idris Ahmad.
- Advertisement -

BANGI: Kerjasama antara para pendakwah dan kerajaan amat penting dalam usaha memperkukuh semula institusi kekeluargaan dan komuniti yang terjejas berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mengadakan pertemuan bersama 100 pendakwah di Bangi hari ini, Idris meminta para pendakwah untuk bersama-sama kerajaan membina semula negara khususnya dalam aspek pembangunan modal insan.

- Advertisement -

“Ini adalah rentetan keadaan negara yang bergelut dengan pandemik Covid-19 menyebabkan  masyarakat terjejas dengan pelbagai perkara,” katanya.

Pertemuan bersama para pendakwah itu turut disertai timbalannya Datuk Ahmad Marzuk Shaary dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Abdul Aziz Jusoh.

Antara pendakwah yang hadir ialah Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Ustazah Isfadiah Dusuki, Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin, Ustaz Roslan Mohamed, Ustaz Haslin Baharim, dan Shah Kirit Kalkulal Govindji.

Idris juga menyeru para pendakwah untuk mempergiatkan usaha dakwah kepada masyarakat terutamanya melalui medium media digital dalam usaha melebarkan kefahaman berkaitan Islam. – BERNAMA

- Advertisement -