Negara belum bebas lagi wabak Covid-19

- Advertisement -

SALMAH MAT HUSAIN | FOTO RIZAL TAHIR

TUMPAT: Kelantan dikunjungi ramai pelancong domestik khususnya hujung minggu berikutan kerajaan mengumumkan rentas negeri bermula 11 Oktober lalu.

Suasana itu dapat dilihat sejak dua minggu lalu selepas pengumuman dibuat Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaacob.

Selain pelancong yang mengunjungi negeri ini secara individu, bas-bas yang membawa pelancong dari Kedah, Melaka, Johor dan Kuala Lumpur banyak kelihatan.

- Advertisement -

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Ahmad Yakub bagaimanapun menasihatkan masyarakat di negeri itu termasuk pelancong supaya sentiasa berhati-hati.

Katanya, pemain industri pelancongan, peniaga, perhotelan dan sebagainya mesti mematuhi syarat yang ditetapkan kerajaan demi mengelak wabak berkenaan tersebar.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada seorang pengusaha ternakan ikan dalam sangkar di Kampung Bendang Morak, dekat sini hari ini.

Menurutnya, negara dan Kelantan khususnya belum bebas daripada wabak berkenaan.

“Kerana itu kita mesti berhati-hati dan patuhilah prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan untuk kebaikan bersama.

“Saya turut mengalu-alukan kedatangan pelancong, tetapi perlu berhati-hati kerana yang lengkap dos suntikan vaksin pun masih berisiko untuk dijangkiti Covid-19,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/10/2021

- Advertisement -