Kerajaan bersedia hadapi serangan siber

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kerajaan memastikan negara dapat menghadapi serangan siber dari dalam dan luar serta melindungi keselamatan infrastruktur digital negara dengan pelaksanaan Pelan Pengurusan Krisis Siber Negara (NCCMP) yang telah dibangunkan sejak tahun 2008.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid, berkata pelan ini dibangunkan berdasarkan rangka kerja pengurusan risiko yang menggariskan strategi bagi mengurangkan kesan serangan siber.

- Advertisement -

Katanya, pelan itu juga menyatakan tindak balas yang perlu dilaksanakan oleh agensi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII) yang terdiri daripada agensi awam dan swasta.

“Pelan ini seterusnya diterjemahkan kepada Arahan Majlis Keselamatan Negara No 24 : Dasar dan Mekanisme Pengurusan Krisis Negara dan Prosedur Tindak Balas Komunikasi dan Penyelarasan Krisis Siber Negara,” katanya menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) di Dewan Rakyat, hari ini.

Wan Hassan meminta kerajaan menyatakan perancangan memastikan perlindungan daripada serangan siber dari dalam dan luar serta tidak akan menggugat keselamatan infrastruktur digital negara pada waktu ini.

Mastura berkata, kerajaan juga mewujudkan Pusat Penyelarasan dan Kawalan Siber Negara (NC4) yang beroperasi pada tahun 2016 bagi memantau dan menangani sebarang insiden dan ancaman siber dari dalam dan luar melibatkan agensi CNII.

Bagi memperkukuhkan tahap keselamatan siber negara demi mewujudkan persekitaran siber yang berdaya tahan dan lestari, katanya kerajaan melalui Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA)) di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah melancarkan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS)) 2020-2024 pada 12 Oktober tahun lalu.

“MCSS 2020-2024 menggariskan tindakan strategik bagi menangani ancaman tersebut melalui pendekatan bersepadu meliputi pelbagai aspek keselamatan siber secara holistik dan terselaras.

“Strategi ini menekankan lima tonggak utama, iaitu aspek tadbir urus, pengurusan dan penyelarasan berkesan, peranan agensi yang jelas, peningkatan keupayaan melalui penggunaan teknologi terkini serta peningkatan kemahiran, pengetahuan dan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan MCSS 2020-2024 turut menumpukan kepada peningkatan keupayaan NC4 yang akan turut memperluaskan tahap pemantauan dengan merangkaikan kepada semua pusat pemantauan dalam negara, termasuk pusat pemantauan yang dikendalikan oleh syarikat swasta, mewujudkan sektor Pusat Kawalan Sektor Siber melalui sistem NC4 dan sistem pemantauan rapi terhadap sistem kritikal negara.

Katanya, sistem NC4 juga dilengkapi dengan sistem pengurusan insiden yang lebih berkesan bagi meningkat pengurusan insiden siber melibatkan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer (CERT)) di peringkat ketua sektor dan agensi CNII.

Melalui inisiatif komprehensif ini, beliau berkata kerajaan dapat mengetahui situasi keselamatan siber semasa dan tahap kesiapsiagaan negara dalam memastikan ia dilindungi daripada risiko ancaman siber dalam dan luar negara. – HARAKAHDAILY 28/10/21

- Advertisement -