‘Keluarga Malaysia’ sudah lama berakar umbi di Kelantan

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Negeri yang turut dianggotai anggota-anggota kabinet dari Kelantan merancakkan lagi pembangunan negeri itu.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, jawatankuasa itu memberi fokus utama pelaksanaan projek-projek dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK ke-12) di Kelantan.

Katanya ia membabitkan projek pembinaan, penaikan taraf rangkaian infrastruktur perhubungan dan utiliti untuk merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi.

- Advertisement -

“Saya yakin penambahan peruntukan daripada RM700 juta kepada RM1 bilion di bawah Jalinan Digital Negara (JENDELA) bakal melonjak pertumbuhan ekonomi negeri.

“Ia akan membawa kesan limpahan menghidupkan lagi industri-industri kecil dan sederhana,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Khas Menteri Besar sempena 31 Tahun Membangun Bersama Islam di Dewan Teratai Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Menurutnya juga perkembangan jalinan digital di Kelantan menjadi pemangkin usahawan digital mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan melalui pembangunan industri hiliran.

Menteri Besar juga berkata, asas kerukunan sesebuah negeri yang harmoni berasaskan elemen sejahtera, aman dan makmur, di mana setiap lapisan masyarakat terjaga aspek kebajikan.

Malah katanya, dalam masa yang sama rakyat hidup dalam keadaan kerukunan dalam suasana kepelbagaian agama, bangsa dan budaya.

Kata beliau juga konsep Keluarga Malaysia sudah lama berakar di Kelantan di bawah pentadbiran ‘Membangun Bersama Islam’ (MBI).

“Di Kelantan tiada sebarang diskriminasi kepada kaum-kaum bukan Islam. Rakyat hidup penuh harmoni dan sejahtera ibarat serumpun bak serai, sesusun bak sirih,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/10/2021

- Advertisement -