Kelantan pernah ‘dianaktirikan’ anjur Sukma

- Advertisement -

Oleh ASLANI M

KOTA BHARU:
Pasukan teknikal Sukma Kelantan melawat lokasi pertandingan sukan di Negeri Sembilan dan Melaka sebagai persiapan awal bagi menyediakan infrastruktur Sukma di Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Wan Roslan Wan Hamat berkata, lawatan itu diadakan bermula hari ini hingga Ahad depan.

“Lawatan itu turut disertai Pengarah Majlis Sukan Negeri Mohamed Imran Mansoor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Pengarah Jabatan Kerjaya (JKR),” katanya di sini.

- Advertisement -

Kelantan julung kali dipilih sebagai tuan rumah Sukma edisi ke-22 pada 2024.

Malah bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui hak penganjuran diberi kepada Kelantan supaya negeri berkenaan ‘tidak lagi dianaktirikan’.

Bagaimanapun temasya Sukma kali ke-22 ditunda kepada 2026 berikutan penularan Covid-19.

Wan Roslan juga berkata, Kelantan akan membina sebuah pusat akuatik patuh syariah sebagai persediaan sebagai tuan rumah Sukma.

Menurutnya kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM20 juta bagi pembinaan akuatik tersebut yang terletak di Islamic City Centre, Kampung Tiong.

Kelantan turut merancang membina stadium dan kompleks sukan di kawasan seluas 60 hektar di Bukit Merbau, Selising Pasir Puteh.

Difahamkan kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk membayar pampasan tanah yang dimiliki penduduk di Bukit Merbau.

Kemudahan lain yang dirancang termasuk stadium tertutup, pusat renang, velodrome, litar sukan bermotor dan beberapa infrastruktur asas lain.

Lokasi Sukma di Kelantan meliputi jajahan Pasir Puteh, Kota Bharu dan Jeli. – HARAKAHDAILY 28/10/2021

- Advertisement -