IWK tanggung tunggakan bil RM760.19 juta

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Syarikat perkhidmatan pembetungan, Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) menanggung tunggakan bil terkumpul sebanyak RM760.19 juta setakat Disember tahun lalu.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata jumlah kutipan kumulatif pula adalah sebanyak 92 peratus daripada jumlah pengebilan kumulatif sebanyak RM9,709.49 juta bagi tempoh yang sama.

- Advertisement -

Daripada jumlah tunggakan sebanyak RM760.19 juta, katanya kategori domestik merupakan penyumbang tertinggi dengan tunggakan terkumpul sebanyak RM463.77 juta (61.01 peratus) diikuti dengan komersial sebanyak RM255.51 juta (33.61 peratus), kerajaan sebanyak RM33.23 juta (4.37 peratus) dan industri sebanyak RM7.67 juta (1.01 peratus).

“Daripada jumlah tunggakan bil terkumpul tersebut, pelanggan di tiga negeri yang mempunyai jumlah tunggakan tertinggi ialah Selangor dengan tunggakan sebanyak RM287.60 juta (37.83 peratus), Kuala Lumpur sebanyak RM107.42 juta (14.13 peratus) dan Perak sebanyak RM69.54 juta (9.15 peratus),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chan Ming Kai (PH- Alor Setar) yang meminta kerajaan menyatakan tunggakan bil pembetungan IWK bagi setiap kategori mengikut negeri dan senarai premis kerajaan yang masih ada tunggakan serta jumlah tunggakan.

Tuan Ibrahim berkata, jumlah tunggakan bagi sektor kerajaan setakat tahun 2020 secara keseluruhan adalah sebanyak RM33 juta dengan agensi Kerajaan Persekutuan sebanyak RM7.29 juta, agensi Kerajaan Negeri (RM6.78 juta), pihak berkuasa tempatan (RM13 juta) dan agensi kerajaan lain (RM5.91 juta).

Menjawab soalan tambahan, katanya sebahagian besar masalah ini adalah tunggakan lama sebelum beberapa penambahbaikan dilakukan sejak tahun 2020 dan IWK cuba menghapuskan hutang lapuk berikutan ada syarikat yang telah ditutup dan tidak mungkin tunggakan dapat dikutip.

Beliau berkata, antara pendekatan untuk mengurangkan tunggakan di sektor kerajaan ialah menghantar laporan berkala tunggakan bil pembetungan kepada semua Ketua Setiausaha kementerian, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan terlibat.

Katanya, IWK juga berunding dengan Ketua Akauntan kementerian untuk memastikan semua tunggakan dapat dibayar serta mengadakan perbincangan dengan agensi kerajaan dan menggalakkan pendaftaran akaun pembetungan secara sistem bayaran pukal kerajaan.

“Walaupun jumlah tunggakan agak tinggi, IWK masih dapat melakukan kerja dengan baik. Malah, kita baru mengambil alih perkhidmatan sebuah syarikat di Kelantan serta dua PBT, iaitu Johor Bahru dan Pasir Gudang, yang menggambarkan bahawa prestasi masih berjalan dengan baik.

“Menjelang tahun 2023, Kerajaan Pusat tidak lagi membiayai IWK dan kita menjangka dapat menjana pendapatan sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/10/21

- Advertisement -