Arak: Siapa Ronnie Liu mahu ajar umat Islam?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) mendesak Ronnie Liu untuk menarik balik kenyataan dalam satu hantaran siaran di media sosial miliknya yang seakan mempersendakan hal ehwal Islam.

Ketuanya, Ustaz Mohamed Sukri Omar, ini apabila Ronnie mempersoalkan larangan ke atas umat Islam yang terlibat dengan kerja di syarikat atau kilang yang berkaitan dengan arak.

“Kenyataan beliau jelas dangkal apabila seakan ‘mahu mengajar’ hal ehwal Islam kepada umat Islam bahawa larangan terhadap arak hanyalah minum sahaja tetapi tidak yang lain,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini

- Advertisement -

Menurutnya, jelas di dalam Islam bahawa larangan terhadap arak atau minuman memabukkan bukan sekadar minum tetapi termasuklah juga kegiatan-kegiatan secara langsung yang jelas disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis Baginda SAW berkenaan 10 golongan yang dilaknat berkaitan arak.

“Maka sebagai umat Islam yang taat kepada perintah agama, mestilah menuruti perintah larangan ini kesemuanya sekali untuk dihindari dan tidak hanya menyempitkan skop kepada minum sahaja,” katanya lagi.

Beliau juga mempersoalkan mengapa Ronnie yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan bersungguh dan sibuk dalam hal ehwal Islam sedangkan siapa beliau yang sebenarnya.

Tegasnya, hal ehwal Islam biarlah umat Islam yang uruskannya.

“Yang melibatkan soal hukum hakam kita mempunyai para mufti dan sarjana yang boleh bicara hal ini.

“Jika melibatkan perundangan yang berkait dengan hal ehwal Islam, DYMM Sultan Selangor adalah ketua agama bagi negeri ini,” ujar Sukri lagi.

Beliau menambah, tidak pasti apa niat Ronnie dalam hantaran di media sosial sebegitu sama ada mahu sengaja campur tangan atau mahu mempersendakan.

Yang jelas, kata beliau, Adun Sungai Pelek itu cuba campur tangan yang bukan hal ehwal yang selayaknya malah sikapnya sedemikian jelas melampaui batas dengan cuba menghasut umat Islam melanggar ajaran Islam tersebut.

“Saya kira, jika perkara ini dipandang sepi oleh pihak berkuasa dan umat Islam, bimbang selepas ini akan berlaku lagi siri-siri kebiadapan dengan cuba berbicara dan campur tangan hal ehwal Islam di negeri ini khususnya.

“Perkara sebegini mesti dibendung awal agar keizzahan agama Islam terus terpelihara dari sebarang tindakan atau kenyataan yang melulu dan tidak wajar ke atas agama Islam yang suci,” katanya.

Beliau berkata, selain menarik balik hantaran siaran di media sosial tersebut, pihaknya juga mendesak Ronnie untuk memohon maaf secara terbuka atas kebiadaban yang dizahirkan secara terang-terangan tersebut.

“Pemuda PAS Selangor akan terus mendesak dan tidak teragak-agak mengarahkan semua Pemuda PAS kawasan-kawasan untuk membuat laporan polis agar tindakan di peringkat selanjutnya diambil jika beliau terus biadab tanpa menarik balik siaran dan memohon maaf secara terbuka,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 28/10/2021

- Advertisement -