Tolong patuhi arahan larangan merokok di tempat awam

- Advertisement -

BERIKUTAN arahan penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap larangan merokok di tempat awam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus melakukan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan ia dipatuhi orang ramai.

Sejak Januari lalu sehingga 24 Oktober 2021, sebanyak 3,419 notis kesalahan di tempat makan melibatkan perokok dan pemilik premis telah dikeluarkan di bawah Seksyen 32B Akta Makanan, Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

KKM memberi jaminan bahawa lebih banyak operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan selepas ini di seluruh negara agar pematuhan terhadap undang-undang merokok di tempat awam sentiasa dipatuhi.

- Advertisement -

Di sini saya juga ingin berkongsikan beberapa gambar aktiviti penguatkuasaan oleh Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kepong di Wilayah Persekutuan pada 23 Oktober lalu dan PKD Johor Bahru di Johor, kelmarin. 

Untuk operasi di sekitar Kepong Sabtu lalu, sebanyak 20 notis kesalahan dikeluarkan membabitkan 15 kesalahan merokok di tempat makan dan lima ke atas pemilik kedai yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan memastikan tiada orang merokok di premis masing-masing.

Bagi operasi di Johor Bahru kelmarin pula, sebanyak 30 notis kesalahan telah dikeluarkan di bawah Seksyen 32B melibatkan 23 kesalahan merokok di tempat makan dan tiga kesalahan dikenakan ke atas pemilik.

Selain itu, sebanyak empat notis kesalahan juga telah dikeluarkan bagi kesalahan merokok di tempat-tempat lain.

Saya menyeru orang ramai supaya mematuhi arahan larangan merokok di tempat awam bukan sahaja demi keselesaan bersama, tetapi lebih penting demi kesejahteraan dan kesihatan semua pihak.

YB TUAN KHAIRY JAMALUDDIN ABU BAKAR
Menteri Kesihatan Malaysia – HARAKAHDAILY 27/10/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100044598962055/posts/424127145750581/

- Advertisement -