Tekad pertahan, kukuhkan pakatan sedia ada

- Advertisement -

Oleh NURUL HAZIMAH

- Advertisement -

KALABAKAN: PAS kini bukan sahaja telah menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan yang dibentuk bersama Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN), tetapi PAS juga sudah menjadi sebahagian kerajaan Negeri Sabah dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Dewan Muslimat PAS Sabah, Norsah Bongsu, berkata semua ahli Dewan Muslimat PAS Sabah perlu mengukuhkan organisasi dan kepimpinan diperingkat kawasan, dan dewan.

Katanya, hal ini kerana setiap individu mempunyai tanggungjawab terhadap kerjaya dan keluarga masing-masing dan ianya tidak boleh dijadikan suatu halangan dalam menggerakkan organisasi.

Menurutnya lagi, jatuh bangun di dalam sebuah organisasi terletak di tangan ahli Dewan Muslimat PAS.

Justeru itu, beliau berharap supaya segala kelesuan masa lalu ditinggalkan dan menggantikan dengan acuan kepimpinan yang lebih berkarisma.

“Kita semua juga perlu memainkan peranan penting dalam menghidupkan gerak kerja kepimpinan masa ini dengan sebaik mungkin selepas kita memasuki fasa pemulihan negara secara keseluruhannya pada waktu terdekat ini.

“Kita harus menggembleng seluruh tenaga dan buah fikiran untuk melahirkan pelapis kepimpinan masa akan datang. Proses percetakan kepimpinan perlu diperkasa dan berterusan,” katanya dalam ucaptama Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Sabah, di sini, pada Ahad.

Menurut Norsah, Dewan Muslimat PAS Sabah terus bertekad untuk memperkukuh kemenangan dengan mempertahankan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang ada pada masa kini.

Katanya, tekad itu adalah kerana Dewan Muslimat PAS Sabah percaya ia adalah wadah terbaik dalam usaha menyatukan semua rakyat yang cintakan kesejahteraan dan ingin memastikan negara terus berada di landasan yang betul demi melihat negara yang lebih stabil.

“Muafakat ini adalah satu rahmat, apa yang harus di fahami, PAS sedia bekerjasama dengan siapa sahaja yang menghormati dan menerima syarat yang telah di tetapkan dalam Muafakat Nasional. PAS mengambil pendirian tegas dan mempertahankan prinsip Islam dan keadilan”.

“Akhirnya, semua pihak perlu belajar untuk berusaha membangunkan negara bersama-sama dan mencari solusi terbaik di era pascapandemik yang melanda dunia dan survival negara haruslah diletakkan di bahu semua warga tidak mengira parti politik, agama dan bangsa, ” katanya. – HARAKAHDAILY 27/10/2021

- Advertisement -