Oleh KAIROL ZULHAIDI
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia menyambut baik dan menyokong penuh hasrat negara yang bakal membina kilang vaksin halal pertama di dunia tidak lama lagi, dan berharap ia bakal memanfaatkan mereka pada masa hadapan.
Hasil tinjauan HarakahDaily mendapati, rata-rata orang ramai menyokong usaha murni kerajaan yang bakal mencipta sejarah baharu kepada industri vaksin Covid-19 di peringkat global itu.
Seorang eksekutif pemasaran, Afandi Abd Basir @ Karnain, 39, berkata, dia menyokong penuh hasrat Malaysia untuk membina kilang vaksin halal pertama di dunia menjelang tahun 2024.
“Apabila Malaysia bakal menghasilkan kilang vaksin halal yang pertama di dunia, ia merupakan satu berita gembira yang sangat ditunggu-tunggu rakyat Malaysia. Dengan adanya kilang vaksin ini, ia sekaligus dapat memberi kemudahan kepada individu bagi menjamin kesihatan yang lebih baik.
“Negara juga tidak lagi memerlukan perbelanjaan yang besar bagi proses penghantaran yang dilakukan sebelum ini,” ujarnya.
Tambah Afandi, proses penghasilan vaksin juga dapat dihasilkan dengan skala lebih besar bagi tujuan penggunaan dalam negara dan luar negara.
Sehubungan itu, dia berharap agar Malaysia menjadi negara pengeluar vaksin terbesar dan terbaik di dunia.
Sementara itu, eksekutif swasta, Nur Jamilah Zubir pula berasa sangat bangga dengan hasrat Malaysia untuk membina kilang vaksin halal sendiri kerana rakyat dapat melihat ketelusan dalam penghasilan vaksin yang mempunyai jaminan halal.
Menurutnya, memandangkan pihak berkuasa akan terlibat untuk memastikan vaksin atau kilang tersebut halal, maka ia menunjukkan ketelusan tentang isu halal berkenaan.
“Sekiranya tidak halal, pastinya ia sukar untuk mendapat kelulusan kerajaan untuk kilang beroperasi dan vaksin pula sukar diluluskan untuk pengeluaran.
“Dari segi kos pula, saya percaya sekiranya Malaysia merancang untuk membuat kilang sendiri, sudah tentu ia juga bertujuan untuk menjimatkan kos,” ujarnya kepada HarakahDaily.
Katanya lagi, rakyat Malaysia juga tidak perlu lagi menunggu terlalu lama untuk mendapatkan vaksin memandangkan kilang pengeluaran vaksin boleh didapati di Malaysia.
“Jadi, apabila (vaksin) mempunyai permintaan yang tinggi, orang ramai sudah tahu jumlah bekalan yang ada dalam negara,” tegas Nur Jamilah.
Dalam pada itu, penulis skrip, Mohamad Hanis Ismail, 33, menegaskan, kewujudan vaksin dan kilang vaksin halal tempatan dapat membantu mengurangkan jumlah masyarakat di negara ini yang antivaksin yang risaukan tentang status halal vaksin dari luar negara.
Katanya, sedikit sebanyak kewujudan kilang halal vaksin di Malaysia ini dapat menghilangkan keraguan orang ramai tentang status halal vaksin. Contohnya, sekiranya terdapat 10,000 orang yang antivaksin, kemungkinan besar dapat meyakinkan satu pertiga daripada jumlah tersebut.
“Pada pendapat saya, Malaysia sememangnya wajar menghasilkan kilang vaksin halal kerana secara tidak langsung ia bukan sahaja menjana ekonomi negara tetapi juga berjaya memanfaatkan dan mengangkat kepakaran anak tempatan di mata dunia terutama buat negara-negara Islam lain,” jelasnya.
Terdahulu, Malaysian Vaccine and Pharmaceutical (MVP) bakal menjadi kilang pertama menghasilkan vaksin halal di dunia menjelang tahun 2024.
Pengarah Eksekutif MVP, Rashidah Ibrahim berkata, tempoh jangkaan tersebut lebih awal daripada yang diharapkan oleh kerajaan.
Menurutnya, vaksin yang dihasilkan akan dikembangkan bukan sahaja untuk kegunaan tempatan tetapi di luar negara dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – HARAKAHDAILY 27/10/2021