Pemuda PAS Bukit Mertajam bantu penduduk Baling

BALING: Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Mertajam telah melaksanakan misi bantuan kepada penduduk Kampung Teluk Rambong, di sini Ahad lalu.

Ketuanya, Syed Mohd Nazri Syed Ibrahim berkata, program Amal Kongsi Rezeki (AKR) itu adalah usahasama Khidmat Malaysia dan Jabatan Amal Malaysia Bukit Mertajam.

Advertisement

Program AKR itu juga mendapat kerjasama penuh daripada Ketua Cawangan PAS Kampung Teluk Rambong, Zamri Che`Teh di sini.

Pengarah program, Yawawi Yahaya berkata, dengan kerjasama yang baik dan bersepadu Khidmat Malaysia dan Jabatan Amal Malaysia Bukit Mertajam berjaya mengumpul barangan keperluan asas sebanyak 30 pek serta wang saguhati daripada ahli PAS dan orang ramai.

Katanya, kebanyakan penduduk kampung tersebut banyak terjejas pendapatan ekoran musim tengkujuh sudah bermula, tambahan pula majoriti penduduk di situ bergantung penuh kepada hasil sebagai penoreh getah.

“Kami amat berbesar hati dan mengucapkan jutaan terima kasih di atas sokongan oleh para penyumbang dan penduduk Kampung Rambong yang telah menyambut kami sebagai tetamu dengan begitu baik dan membantu kami untuk menjayakan program ini,” ujar beliau.

Syed Mohd Nazri berkata, beliau mengharapkan program seperti itu dapat dilaksanakan lagi pada masa hadapan dan berharap ia dapat menjalinkan ukhwah di antara mereka.

“Semoga sedikit perkongsian rezeki ini dapat menggembirakan mereka dan mengurangkan sedikit beban yang ditanggung penerima,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/10/2021