MP Pasir Mas bidas ahli politik marah penjawat awam

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Ahli politik tidak sepatutnya memarahi penjawat awam di khalayak ramai semata-mata untuk menunjukkan lagak hero pada mata rakyat.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, berkata sebagai penggubal undang-undang, ahli politik tidak boleh memberi tekanan kepada penjawat awam sehingga mereka mengalami tekanan mental di tempat kerja.

- Advertisement -

Katanya, dalam satu video yang tersebar di media sosial dua atau tiga hari lalu, seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) di sebuah negeri, memarahi kakitangan sektor awam di hadapan khalayak ramai dengan menggunakan perkataan seperti bodoh.

“Memarahi penjawat awam di hadapan khalayak ramai adalah perkara yang tidak boleh diterima, apatah lagi oleh seorang penggubal undang-undang.

“Kalau ada kawan-kawan di Dewan (Rakyat) ini, saya minta tolong nasihatkan. Saya yakin tidak ada mana-mana parti (politik), tidak ada mana-mana pihak yang boleh membenarkan Ahli Parlimen atau Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) membuat perangai atau melakukan perkara seperti ini. Tetapi ia lebih kepada sikap (individu) terhadap penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan Rang Undang-Undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Fadhli berkata, jika isu yang menjadi masalah ialah perparitan, ahli politik terbabit boleh berjumpa Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri dan jika isu berkaitan elektrik, boleh berjumpa pegawai Tenaga Nasional Bhd (TNB) peringkat kawasan atau negeri.

Katanya, tindakan memarahi penjawat awam di khalayak ramai hanya mewujudkan persepsi buruk terhadap ahli politik yang kononnya kerja mereka ialah untuk bertengkar dengan penjawat awam di khalayak ramai.

“Kita sebagai Ahli Parlimen, sentiasa berdiri teguh bersama penjawat awam yang melaksanakan kerja seperti diarahkan,” katanya.

Kejadian seperti yang berlaku dalam video itu menyebabkan pelbagai pihak menyelar ahli politik terbabit yang tidak menghormati kakitangan awam.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) turut terkilan dengan tindakan individu dalam video berkenaan yang disifatkan sebagai tidak profesional.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat, menganggap tindakan individu terbabit yang mengeluarkan kata-kata kesat serta suara tinggi terhadap penjawat awam sebagai sangat keterlaluan. – HARAKAHDAILY 27/10/21

- Advertisement -