Masjid lindungi mangsa keganasan rumah tangga

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Mangsa keganasan rumah tangga kini boleh berlindung di masjid melalui program kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) yang menubuhkan Pusat Transit Keganasan Rumah Tangga.

Melalui Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2020-2024, kewujudan pusat transit di masjid dapat memperluaskan fungsi masjid sebagai pusat komuniti setempat yang menyediakan pelbagai kemudahan, termasuk keperluan psikososial dan rohaniah.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata dua masjid yang dipilih sebagai pusat transit ialah Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Masjid Al-Ghufran Pinggiran Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

Katanya, program berkonsepkan perlindungan segera kepada masyarakat setempat dalam kalangan ahli kariah masjid diberi kepada mangsa keganasan rumah tangga, sama ada lelaki atau wanita dan tanpa mengira agama.

“Di pusat transit, mangsa diberi kaunseling dan bimbingan rohaniah oleh pegawai masjid serta pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terlatih,” katanya menjawab soalan Nor Azrina Surip (PH-Merbok) dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Siti Zailah berkata, mangsa akan tinggal di asrama, diberi makan minum sepanjang berada di situ, selain disediakan persalinan pakaian, selimut, tuala dan peralatan kebersihan diri.

Setakat ini, katanya hanya seorang mangsa keganasan rumah tangga dilindungi di Masjid Wilayah Persekutuan dan tiada peruntukan diberikan untuk program perlindungan berkenaan.

Sementara itu, katanya sebanyak 12 masjid di Wilayah Persekutuan dipilih sebagai pusat aduan dan khidmat kaunseling kepada mangsa keganasan rumah tangga yang memerlukan khidmat nasihat, sokongan psikologi serta kaunseling dalam usaha membina masyarakat harmoni. – HARAKAHDAILY 27/10/21

- Advertisement -