Kerajaan belum cadang naikkan kadar bantuan JKM

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Kadar bantuan kebajikan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan keluarga miskin, tidak akan dinaikkan dalam tempoh terdekat kerana kerajaan telah berbuat demikian ketika pembentangan Belanjawan 2021.

Timbalan Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan bantuan kewangan untuk meringankan beban golongan berkenaan untuk sementara waktu sehingga mereka mampu keluar daripada kepompong kemiskinan dan hidup berdikari.

- Advertisement -

Beliau berkata, bantuan berkenaan bukan untuk menampung kos sara hidup sepenuhnya, tetapi membantu meringankan beban kewangan untuk hidup lebih selesa dan sempurna.

Ketika pembentangan Belanjawan Tahun 2021, katanya kerajaan telah menaikkan kadar bantuan yang melibatkan empat skim bantuan.

“Bantuan Kanak-Kanak (BKK) dinaikkan daripada RM100 kepada RM150 bagi seorang kanak-kanak dengan kadar maksimum RM1,000 sebulan satu keluarga yang memberi manfaat kepada 63,184 keluarga miskin dengan peruntukan RM206.3 juta setakat Ogos lalu.

“Kenaikan kadar Bantuan Penjagaan OKU atau Pesakit Kronik Terlantar (BPT) pula daripada RM350 kepada maksimum RM500, memberi manfaat kepada 25,836 penjaga OKU dan BPT dengan peruntukan RM106.8 juta setakat Ogos lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Teo Nie Ching (PH-Kulai) dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Siti Zailah berkata, sebanyak RM202.5 juta disalurkan kepada 83,929 OKU tidak bekerja setakat Ogos 2021, dengan kenaikan daripada RM250 kepada RM300 sebulan.

Bagi OKU bekerja, katanya peruntukan sebanyak RM329.6 juta disalurkan kepada 92,265 orang setakat Ogos lalu, berikutan kenaikan Elaun Pekerja OKU daripada RM400 kepada RM450 sebulan.

“Warga emas juga menerima kenaikan kadar bantuan daripada RM350 kepada RM500 dengan peruntukan RM559.2 juta yang memanfaatkan 138,214 penerima setakat Ogos lalu,” katanya.

Secara keseluruhan, katanya sebanyak RM1.6 bilion disalurkan bagi membantu 513,054 penerima bantuan yang layak, setakat Ogos lalu dengan peruntukan kepada golongan OKU paling tinggi berbanding golongan sasaran lain. 

Beliau berkata, konsep pelaksanaan kenaikan kadar bantuan JKM adalah memberi fokus kepada keperluan isi rumah dan merujuk kepada penggabungan bantuan mengikut keperluan sesebuah isi rumah mempunyai pelbagai kategori seperti warga emas, OKU, ibu tunggal mempunyai anak berumur di bawah 18 tahun serta pesakit kronik terlantar.

Katanya, jika sesebuah isi rumah memenuhi semua kriteria ditetapkan, jumlah bantuan diterima isi rumah berkenaan adalah melebihi RM1,000 sebulan.

“Sebagai contoh, jika sesebuah isi rumah terdapat seorang warga emas, seorang OKU tidak bekerja dan ibu tunggal yang mempunyai empat anak berumur bawah 18 tahun, serta seorang pesakit kronik terlantar, jumlah bantuan diterima adalah RM1,900 sebulan. – HARAKAHDAILY 27/10/21

- Advertisement -