Jangan terlalu berasa kecewa

- Advertisement -

JANGAN kita terlalu kecewa dengan apa yang kita perolehi di dunia, kerana itu bukanlah gambaran sebenar nasib kita di akhirat. Ramai orang yang berputus asa dengan nasib dunianya seolah-olah dunia inilah segala-galanya baginya. 

Kita boleh menangisi apa yang mendukacitakan kita, kerana tangisan itu sebahagian daripada fitrah yang Allah telah bekalkan kepada kita. Namun, jangan kita terlalu sedih dan menangis, sehingga menganggap seolah-olah tidak ada lagi hari esok untuk kita.

- Advertisement -

Begitu juga jangan kita terlalu gembira dengan habuan dunia sehingga kita rasa itulah segala-galanya. Sesungguhnya dunia ini hanyalah permainan yang melalaikan kita daripada mengingati akhirat yang kekal abadi. 

Firman Allah S.W.T:

‎اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ ۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا ۖ وَفِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٌ ۚ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ ‎

“Ketahuilah kamu bahawa kehidupan dunia hanyalah permainan, hiburan, perhiasan, kebanggaan sesama kamu, dan tempat menambah harta dan anak-pinak, sama seperti air hujan yang para petani berasa takjub dengan hasil yang tumbuh daripadanya, setelah tumbuhan itu menghijau, ia kemudian menjadi kuning dan seterusnya hancur. Di akhirat nanti terdapat azab yang dahsyat dan keampunan daripada Allah serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia itu hanyalah nikmat yang sementara yang tidak kekal.”

(al-Hadid: 20)

Marilah kita bersyukur atas apa yang kita perolehi di dunia. Boleh jadi Allah S.W.T tidak memberi kita kekayaan ataupun kejayaan kerana Dia tahu ia akan merosakkan kita. Ingatlah Allah S.W.T tidak akan menguji hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu dihadapinya.

Semoga Allah S.W.T selamatkan kita daripada tipu daya dunia dan menjadikan kita mendapat kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.

YB USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 27/10/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100050311487174/posts/432917318395314/

- Advertisement -