Fazilah Abu Samah kekal Ketua Muslimat PAS Negeri Sembilan

- Advertisement -

Oleh JANIRA AIN ABU BAKAR

- Advertisement -

RASAH: Jawatan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Sembilan bagi sesi 2021-2023 kekal milik Fazilah Abu Samah apabila beliau menang tanpa bertanding pada pemilihan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Sembilan kali ke-32 yang berlangsung di sini, pada Ahad.

Manakala, jawatan Timbalan Ketua dan Naib Ketua juga kekal, apabila masing-masing dipegang Ustazah Rosminah Sarmani dan Patimah Bahaudin.

Wakil Jawatan Kuasa Pemilihan PAS (JKPP), Rahman Saad, mengumumkan sepuluh jawatan yang disenaraikan, kesemua calonnya menang tanpa bertanding.

Calon-calon tersebut adalah Lina Md. Jadi, Saadah Dahalan, Noridah Md Shariff, Hidayah Kamarudin, Aisyah Humaira, Nur Solehah Md Nasir, Maizarah Abu Bakar, Rohayati Md Din dan Raja Azlina Raja Sabudin.

Majlis yang berlangsung secara hibrid (separa bersemuka) itu dijalankan secara maya menggunakan platform Google Meet, manakala sebahagiannya hadir secara fizikal di Kompleks PAS, Ampangan dan Muassasah Darul Suada, Jempol.

Seramai kira-kira 130 orang perwakilan daripada 9 kawasan hadir.

Dalam ucapan penangguhannya, Fazilah menyeru para perwakilan serta muslimat khususnya, supaya sentiasa mengikhlaskan niat dalam bergerak kerja. Menurutnya, muslimat perlu sentiasa bermuhasabah dan memastikan pergantungan kepada Allah semata-mata.

“Muslimat perlu kuat jiwanya, jangan sesekali mengeluh kerana keletihan dan kesibukan berjuang. Jika perlu mengadu, mengadulah kepada Allah.

“Dewan Muslimat PAS Negeri sangat mengalu-alukan sumbangan dan penyertaan daripada muslimat daripada segenap lapisan usia. Kita memerlukan tenaga muda untuk memastikan peralihan pimpinan berlaku dengan lancar,” katanya.

Muktamar kali ini turut diselitkan taklimat Skuad Waja oleh wakil Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina (PAPISMA), Dr Nabihah Samsudin,

Selain itu, Huda Nordin, Penolong Setiausaha 1 Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) turut hadir sebagai pemerhati. – HARAKAHDAILY 27/10/2021

- Advertisement -