Vaksin percuma KJMC: Pelajar Maahad Tahfiz Islami bersyukur

- Advertisement -

Oleh KAIROL ZULHAIDI

KELANA JAYA: Perasaan lega, gembira dan teruja menyelubungi diri pelajar-pelajar Maahad Tahfiz Islami, Kampung Lindungan, Petaling Jaya, Selangor apabila berpeluang mendapat suntikan vaksin Covid-19 secara percuma dari pihak Hospital Kelana Jaya Medical Centre (KJMC), di sini, hari ini.

Muhd Danish Farhan Mohd Iqbal,17, berkata, dia bersyukur ke hadrat Ilahi kerana memang sudah lama menunggu untuk mendapat suntikan vaksin Covid-19 kerana sebelum ini dia hanya melihat orang lain mendapat suntikan vaksin dan sekarang tiba giliran dirinya pula.

- Advertisement -

“Alhamdulillah, saya mengambil suntikan vaksin ini kerana ia adalah kewajipan kita mengambil vaksin Covid-19 bagi melindungi diri dan masyarakat,” ujarnya.

Muhd Danish.

Sementara bagi Muhd Nohdarwisyh Mahadir, 17, pula, dia berasa lega dan teruja selepas selamat divaksinasi pada hari ini.

“Selepas mendapat suntikan vaksin Covid-19 dari KJMC ini, saya berharap agar sentiasa sihat walafiat dan dapat meneruskan pengajian seperti biasa.

“Sekarang ini, saya sudah menghafaz sehingga juzuk 4 Al-Quran dan saya bercita-cita ingin menjadi ustaz pada masa hadapan agar dapat menyumbangkan sesuatu pada jalan Allah S.W.T,” ujarnya kepada HarakahDaily.

Mohd Nohdarwisyh.

Dalam pada itu, seorang ibu kepada seorang pelajar Maahad Tahfiz Islami Kampung Lindungan, Nik Suria Abdullah melahirkan perasaan gembira kerana anaknya, Mohd Danish, 17, berpeluang menerima suntikan vaksin Covid-19 secara percuma dari KJMC pada hari ini.

“Saya gembira anak saya, Mohd Danish antara yang menerima suntikan vaksin secara percuma dari KJMC kali ini. Ia akan memudahkan anak saya untuk ke sekolah atau pergi ke mana-mana sahaja,” ujarnya.

Nik Suria dan anaknya, Mohd Danish.

Sementara itu, Pengerusi Maahad Tahfiz Islami Kampung Lindungan, Ustaz Hakimin Hafiz Husain berharap agar isu Covid-19 ini tidak lagi menjadi beban kepada golongan pelajar untuk meneruskan pengajian. 

“Mudah-mudahan ikhtiar yang kita laksanakan hari ini (suntikan Covid-19 secara percuma) dapat melegakan hati pelajar-pelajar agar mereka dapat meneruskan pengajian di sini sepertimana yang telah kita rancangkan,” katanya.

Ustaz Hakimin Hafiz bersama rakannya, Mohd Noor Kaizam.

Menurutnya, program berkenaan adalah hasil kerjasama antara Maahad Tahfiz Islami Kampung Lindungan dengan KJMC dan Yayasan Amal Malaysia cawangan Selangor.  

“Pada hari ini, seramai enam pelajar kami yang berusia 12 tahun ke atas telah menerima suntikan vaksin Covid-19 dari pihak KJMC,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/10/2021

- Advertisement -