Saintis temui 14 gen punca obesiti

Sejenis cacing yang dikenali sebagai C elegans dijadikan sebagai subjek kajian penyelidikan saintifik.
- Advertisement -

Oleh YUSMAN  AWANG

CHARLOTTESVILLE: Hasil penyelidikan terbaharu sekumpulan saintis di University of Virginia, Amerika Syarikat baru-baru ini menambah bukti yang jelas tentang teori sebelum ini bahawa masalah obesiti atau kegemukan melampau pada manusia lebih berkait dengan genetik berbanding disebabkan sikap, tabiat atau pilihan gaya hidup mereka.

Penemuan saintifik terbaharu yang diterbitkan dalam jurnal, peer-reviewed PLOS Genetics edisi Oktober 2021 itu telah mengenal pasti 14 gen yang menyebabkan obesiti, dan tiga gen lain yang sebaliknya menghalang penambahan berat badan. 

- Advertisement -

Obesiti pada manusia sudah sekian lama menjadi permasalahan dalam dunia perubatan moden kerana ia boleh membawa kepada pelbagai komplikasi yang termasuklah masalah jantung yang boleh mencetuskan kepada penyakit darah tinggi dan paras kolesterol yang tinggi dalam badan, penyakit kencing manis, masalah pernafasan seperti asma serta masalah tidur.

Obesiti boleh mencetuskan kepada pelbagai komplikasi penyakit yang memudaratkan kesihatan manusia.

Ia juga boleh mendatangkan komplikasi sendi dan tulang seperti osteoarthritis dan kesakitan tulang pinggul, selain kesan psikologil seperti kemurungan dan kurang keyakinan diri.

Sehubungan itu, penemuan saintifik baharu tersebut menunjukkan kemajuan yang signifikan berbanding kajian sebelumnya, kata Eyleen O’Rourke, profesor di jabatan biologi sel universiti yang juga ketua kumpulan kajian berkenaan.

“Hasil daripada kajian-kajian terdahulu, diketahui terdapat beratus-ratus varian gen yang lebih cenderung muncul pada individu yang mengalami obesiti dan penyakit-penyakit lain. Namun,   istilah ‘lebih cenderung muncul’ itu sebenarnya merujuk kepada ketidakpastian gen-gen yang manakah benar-benar menyebabkan obesiti dan penyakit-penyakit lain berkenaan,” jelas O’Rourke.

Hasil kajian saintifik terbaharu menemui bukti masalah obesiti ada kaitan dengan faktor genetik.

“Ketidakpastian ini adalah penghalang utama untuk mengeksploitasi kuasa genomik populasi bagi mengenal pasti sasaran untuk merawat atau menyembuhkan masalah obesiti,” tambahnya.

Justeru, menurut O’ Rourke, bagi menentukan gen yang mana satukah memainkan peranan dalam membantu mencegah penambahan berat badan secara langsung, subjek kajianyang digunakan dalam penyelidikan ini ialah sejenis cacing yang dikenali sebagai C elegans. – HARAKAHDAILY 26/10/2021  >>>Ikuti gambaran lanjut yang merungkai kaitan gen dan masalah obesiti manusia dalam Harakah edisi cetak<<<

- Advertisement -