PADA 22 Oktober lepas Qatar telah melancarkan stadium kelima yang akan digunakan untuk Piala Dunia FIFA tahun hadapan. Perlawanan akhir Piala Emir di antara Al Rayyan dan Al Sadd telah berlangsung di Stadium Al Thumama, 12 km di Selatan Doha. Ia merupakan perlawanan pertama di stadium yang boleh memuatkan 40,000 orang penonton.
Piala Dunia tersebut akan berlangsung pada 21 November hingga 18 Disember 2022 dan merupakan kejohanan kedua di Asia setelah Jepun atau Korea 2002. Walaupun lebih satu tahun sebelum kejohanan namun saingan pada pusingan kelayakan yang sedang berlangsung adalah semakin sengit. Terdapat pasukan-pasukan ternama yang berhadapan dengan masalah dan berkemungkinan akan gagal ke Qatar. Tetapi sudah terdapat pasukan-pasukan yang telah layak.
Di Eropah (UEFA), Jerman dan Denmark telah layak walaupun terdapat 2 lagi baki perlawanan pada kumpulan kelayakan. Denmark di dalam kumpulan F mendahului Scotland di tempat kedua dengan jarak 7 mata. Dengan hanya baki 2 perlawanan, negara tersebut tidak akan dapat dipintas. Hanya juara kumpulan layak secara automatik. Sementara juara 4 kali Jerman di dalam kumpulan J mendahului Romania di tempat kedua dengan jarak 8 mata dan mustahil untuk dipintas.
Terdapat 10 kumpulan kelayakan untuk Eropah dengan juara kumpulan layak secara automatik sementara naib juara perlu bermain di dalam pusingan ‘play-offs’. 10 naib juara bersama-sama dua pasukan terbaik UEFA Nations League akan menentukan 3 tempat terakhir bagi UEFA. Ini bermakna pasukan-pasukan ternama seperti Portugal, Sepanyol, Croatia dan Poland berkemungkinan akan gagal ke Qatar jika kekal di tempat kedua dan gagal dalam perlawanan-perlawanan ‘play-offs’.
Di Amerika Selatan (CONMEBOL) pula, 10 pasukan sedang bersaing dalam liga dua pusingan (home and away). Setelah 12 dari 18 perlawanan, juara 5 kali Brazil, juara 2 kali Argentina, Ecuador dan Colombia berada di 4 kelompok teratas. Hanya 4 pasukan teratas layak sementara pasukan di tempat keempat terpaksa bermain di dalam perlawanan ‘interconfederation play-offs’ menentang pasukan dari konfederasi yang lain.
Pusingan kelayakan CONMEBOL ini hanya akan berakhir pada bulan Mac tahun hadapan tetapi Ecuador merupakan pasukan kejutan jika dapat mengekalkan kedudukan dan layak untuk kali keempat dalam sejarah mereka. Sementara juara 1930 dan 1950, Uruguay yang berada di tempat kelima dilihat terpaksa menempuh laluan sukar dengan Chile, Bolivia dan Paraguay berpeluang memintas mereka. Hanya pasukan di tempat kelima akan layak ke ‘play-offs’ tersebut.
Pusingan kelayakan Afrika untuk CAF telah masuk ke pusingan kedua. Terdapat 10 pasukan 4 kumpulan dan johan kumpulan akan ke pusingan ketiga. 10 johan kumpulan ini akan digandingkan di dalam perlawanan ‘home and away’ di mana 5 pemenang akan layak.
Algeria, Tunisia, Nigeria, Ivory Coast, Mali, Mesir, Afrika Selatan, Senegal, Maghribi dan Tanzania sedang mendahului kumpulan masing-masing dengan baki 2 perlawanan. Beberapa pasukan yang pernah mencipta nama pada Piala Dunia sebelum ini berkemungkinan akan tersingkir kerana hanya juara kumpulan yang layak ke pusingan selanjutnya. Dalam kumpulan D, Ivory Coast dan Cameroon sedang bersaing untuk johan kumpulan dan salah satu akan tersingkir. Sementara dalam kumpulan G, Afrika Selatan atau Ghana akan tersingkir dari cabaran selanjutnya.
Untuk AFC pula, 12 pasukan sedang bersaing di dalam 2 kumpulan 6 pasukan di dalam pusingan ketiga. Johan dan naib johan kumpulan akan layak ke Qatar. 2 pasukan di tempat ketiga akan bertemu di dalam perlawanan ‘home and away’ untuk menentukan pasukan yang akan layak ke ‘interconfederation play-offs’.
Selepas 4 dari 10 perlawanan, Iran dan Korea Selatan sedang mendahului kumpulan A walaupun UAE dan Iraq masih mampu memintas mereka. Di kumpulan B pula, Australia dan Arab Saudi berada pada kedudukan teratas juga selepas 4 dari 10 perlawanan. Walaupun masih awal untuk membuat kesimpulan namun Jepun yang hanya di tempat ke 4 berada dalam bahaya. Pada perlawanan pertama Jepun telah dikejutkan oleh Oman 0-1 di tempat sendiri. Ini sudah tentu mengecewakan peminat mereka kerana negara tersebut telah bermain di Piala Dunia untuk 6 siri berturut-turut dari 1998 hingga 2018.
Untuk Piala Dunia tahun hadapan, Asia telah diperuntukkan 4 tempat secara automatik. Ini tidak termasuk tuan rumah Qatar yang layak secara automatik. Satu tempat lagi adalah melalui ‘interconfederation play-offs’ sama ada menentang pasukan tempat keempat pusingan ketiga CONCACAF (Amerika Utara dan Amerika Tengah), pasukan tempat kelima CONMEBOL atau pemenang pusingan kedua OFC (Oceania). Tetapi pada hakikatnya pasukan Asia ‘sebenar’ hanya mendapat 3 tempat. Sejak Australia menyertai AFC dalam tahun 2006, mereka telah layak ke setiap kejohanan Piala Dunia melalui kuota AFC iaitu dalam tahun 2010, 2014 dan 2018. Untuk kejohanan kali ini, Australia juga dilihat akan layak sekali lagi.
Tidak dapat dinafikan kualiti bola sepak Australia mengatasi kebanyakan negara-negara Asia. Pemain-pemain mereka telah berjaya di Eropah. Malah ketika berada di dalam OFC, mereka pernah layak ke Piala Dunia apabila memenangi ‘interconfederation play-offs’ menentang pasukan Amerika Selatan, Uruguay. Walau bagaimanapun laluan mereka lebih mudah selepas menyertai AFC. Tidak menghairankan kerana hanya 4 atau 5 negara Asia yang dapat menyaingi mereka justeru itu kehadiran mereka di dalam AFC hanya akan mengurangkan peluang negara-negara Asia layak ke Piala Dunia.
Mungkin tidak ada masalah sekiranya Australia konsisten. Tetapi di dalam sukan seperti bola sepak mereka mahu menjadi sebahagian dari Asia tetapi terdapat keadaan-keadaan lain di mana mereka dilihat tidak menganggap diri mereka sebahagian dari benua ini. Baru-baru ini telah diumumkan pakatan ketenteraan baharu di antara Australia, USA dan UK atau AUKUS di mana Australia akan dibantu membina kapal selam nuklear. Faktor geopolitik seperti ini tidak sepatutnya diheret ke dalam sukan namun sikap oportunistik seperti ini susah hendak diabaikan.
DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Khidmat Untuk Kemajuan Perumahan Dan Masyarakat (REACH) – HARAKAHDAILY 26/10/2021
Sumber Asal: https://m.facebook.com/100000270189106/posts/4806419546043671/