PRN Melaka: SPR, KKM, MKN sedang muktamad tambah baik SOP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebelum hari penamaan calon pada 8 Nov ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ketika ini SPR, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang memuktamadkan penambahbaikan SOP pencegahan Covid-19 bagi PRN itu.

- Advertisement -

“Isu kesihatan, keselamatan dan pelaksanaan pilihan raya menjadi keutamaan dengan mengambil kira situasi Covid-19 ketika ini. SOP ini disesuaikan selaras dengan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Steven Choong Shiau Yoon (Bebas-Tebrau) mengenai langkah diambil pada PRN Melaka dalam mengelak peningkatan kes positif Covid-19 seperti yang berlaku pada PRN Sabah sebelum ini.

Wan Junaidi berkata SPR juga sedang membuat persiapan meliputi aspek seperti keperluan bajet pilihan raya, peralatan, logistik, pembangunan sistem dan latihan kepada petugas bagi menghadapi PRN pada 20 Nov.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Okt apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Sementara itu Wan Junaidi berkata SPR membuat penambahan 218 lagi saluran mengundi daripada 1,156 saluran di 248 pusat mengundi bagi mengelak kesesakan.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) yang mahukan kerajaan memberi jaminan tidak akan berlaku pilih kasih dalam pelaksanaan SOP antara pihak kerajaan dan pembangkang, Wan Junaidi berkata beliau akan membangkitkan perkara itu pada mesyuarat Kabinet akan datang bagi meminta menteri untuk tidak memintasi SOP yang ditetapkan.

“Jadi kalau SOP ini dilaksanakan oleh satu pihak, mesti juga dilaksanakan pihak lain,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -