Pemimpin PH biadab hina penjawat awam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, V Ganabatirau yang menghina dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kakitangan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang pemimpin masyarakat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, ini bukan kali pertama pemimpin Pakatan Harapan menunjukkan sikap tidak sopan terhadap pihak lain.

“Contohnya isu pimpinan PKR yang pernah memarahi pegawai imigresen dan calon Warisan Segama yang telah menghina wira negara yang terkorban dalam Ops Daulat di Lahad Datu,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya, meskipun permohonan maaf telah dibuat, PAS mengharapkan agar perkara itu tidak berulang lagi di masa hadapan.

Sebagai wakil rakyat, ujarnya seseorang pemimpin perlu menunjukkan teladan yang baik dan menggunakan pendekatan yang matang dan sejahtera untuk menegur orang yang berada di bawah pentadbirannya.

“Justeru sebagai sebuah Keluarga Malaysia, sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain perlu diterapkan selari dengan prinsip kelima Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan yang menekankan tentang tingkah laku setiap rakyat yang sopan bagi membentuk masyarakat yang berdisiplin dan bermoral tinggi sehingga sebuah masyarakat yang harmoni dapat diwujudkan,” katanya lagi.

Sabtu lepas Ganabatirau memuat naik sebuah video di Facebooknya memaparkan beliau meninjau dan memantau isu banjir di Taman Sri Muda dekat sini dan tidak berpuas hati dengan alasan diberikan oleh JPS. – HARAKAHDAILY 26/10/2021

- Advertisement -