Pasar Pokok Pinang tumpuan penduduk bukan Islam

- Advertisement -

Oleh ASLANI M

KOTA BHARU:
Biarpun Kelantan ditadbir PAS sejak Oktober 1990 sehingga sekarang, namun masyarakat bukan Islam tidak menghadapi masalah bagi mendapatkan keperluan harian mereka.

Antaranya daging khinzir masih boleh didapati di bandar Kota Bharu, yang dijual di Pasar Pokok Penang. Ia terletak tidak jauh daripada Pejabat Perhubungan PAS Kelantan.

Lokasi sebenarnya di Jalan Hilir Pasar, terletak bersebelahan dengan stesen teksi. Pelbagai barangan boleh didapati di Pasar Pokok Pinang termasuk ayam, makanan laut dan makanan kering.

- Advertisement -

Di pasar itu terdapat tujuh peniaga yang diberi lesen menjual daging khinzir di gerai khas yang disediakan. Terdapat kira-kira 50 peniaga Melayu, Cina dan Siam mencari rezeki di situ.

Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) Lim Guan Seng berkata, daripada tujuh peniaga tersebut yang terdiri daripada kaum Cina dan Siam, mereka hanya beroperasi tiga gerai sehari.

“Mereka berniaga secara gilir-gilir di gerai tersebut, di mana tiga gerai dibuka setiap hari. Gerai tersebut terletak di bahagian tengah pasar terbabit.

“Manakala di bahagian hujung di laluan masuk ada peniaga Melayu dan Siam menjual sayur-sayuran dan buah-buahan di pasar tersebut,” katanya di sini.

Guan Seng yang juga Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Kelantan berkata, peniaga terbabit mendapat bekalan daging khinzir dari luar Kelantan termasuk Melaka.

Menurutnya ada penduduk Cina dan Siam dari luar Kota Bharu juga datang ke pasar tersebut bagi mendapatkan daging khinzir.

“Menjelang sambutan Tahun Baru Pasar Pokok Pinang begitu meriah apabila diadakan pasar malam berhampiran pasar tersebut sehingga ke Jalan Dato’ Pati.

“Pasar itu beroperasi dalam tempoh dua minggu sebelum sambutan Tahun Baru Cina. Dan paling meriah dua hari sebelum menjelang sambutan tersebut,” katanya.

Kata beliau pasar malam itu beroperasi mulai jam 6 petang sehingga 1 pagi menjual pelbagai jenis barangan termasuk kering, basah dan pakaian.

Menurutnya MPKB BRI melantik pemajak bagi mengurus pasar malam tersebut untuk memastikan kebersihannya terjaga dan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan. – HARAKAHDAILY 26/10/2021

- Advertisement -